PUTRAJAYA:Kerajaan bersetuju membenarkan ahli keluarga terdekat dari kediaman lain menyertai acara Makan Besar Keluarga sempena Tahun Baharu Cina pada 11 Februari dengan syarat bilangan mereka tidak melebihi 15 orang.

Kebenaran itu bagaimanapun hanya membabitkan mereka yang tinggal dalam lingkungan radius 10 kilometer, tanpa rentas daerah dan negeri.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perpaduan Negara, berkata Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju meluluskan SOP Sambutan Tahun Baharu Cina yang telah ditambah baik, hari ini.

Kata kenyataan itu, mesyuarat juga bersetuju untuk membenarkan aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti berikut:

Sementara itu, kenyataan itu juga menyebut, Pegawai Pemantau yang dilantik di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, menyeru masyarakat Cina di Malaysia untuk mematuhi SOP ketika menyambut perayaan dalam norma baharu tahun ini.

"Sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan, jaga kebersihan diri dan pastikan penjarakan fizikal dalam usaha kita memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia," katanya dalam kenyataan itu.