KUALA LUMPUR:Lebih daripada seorang Menteri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai bakal mengosongkan portfolio masing-masing dalam masa terdekat.

Menurut sumber, langkah tersebut dipercayai sebahagian daripada rombakan kabinet.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah pun berjumpa dengan dua menteri berkenaan, selepas selesai mesyuarat Kabinet di Putrajaya semalam,” kata sumber tersebut kepada Astro Awani.

Pemerhati politik berpendapat salah satu sebab pengguguran itu, adalah bagi memberi laluan kepada ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu,  hilang kepercayaan sebagai Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri Perak semalam.

“Menteri-menteri berkenaan paling tinggi dalam senarai (pengguguran) sekiranya Perdana Menteri perlu menggugurkan ahli Kabinet untuk memberi laluan kepada yang lain,” kata sumber berkenaan kepada Astro AWANI.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Pemimpin PH menghadap Sultan Perak: Apa bakal jadi hari ini?

BACA: Undi percaya DUN Perak: MB Faizal Azumu gagal peroleh sokongan majoriti

Dalam pemilihan Bersatu Julai lepas, Ahmad Faizal telah dipilih sebagai Timbalan Presiden Bersatu selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan tersebut.

Namun, situasi yang berlaku di Perak semalam dilihat memperlihatkan kemungkinan Faizal bakal diberi tempat di peringkat persekutuan, selaras dengan jawatannya sebagai orang nombor dua parti.


Bagaimanapun Ahmad Faizal ketika dihubungi Astro AWANI semalam telah menyatakan bahawa beliau mahu memberikan tumpuan kepada Perak, biarpun sebagai ADUN biasa.

“Saya fikir buat masa sekarang ini saya rehat dulu. Tetapi terkejut juga pagi tadi (semalam) datang pejabat Menteri Besar, petang dah hilang jawatan...rasa pening juga. Tapi let me just focus on kerja-kerja di kawasan dulu, I’m not thinking about any other position.

“Saya mohon kepada semua ahli-ahli Bersatu, semua rakyat, semua penyokong UMNO yang berjaya mengeluarkan saya supaya bersabar, tak payah nak bakar mercun raikan kejayaan itu, kepada Bersatu pula bersabar tak payah nak bergaduh, tak payah tak bertegur sapa, suami-isteri anak beranak tak payah nak putuskan silaturrahim kerana alasan politik,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI semalam.

BACA: Keperluan rombakan Kabinet kuasa autonomi Muhyiddin - Ahmad Jazlan

BACA: UMNO tak boleh duduk di 'second fiddle' terlalu lama - Shahril Hamdan

Sementara itu, rentetan episod yang  berlaku di Perak, pemerhati politik berpendapat UMNO akan kembali menuntut agar diberikan lebih kepentingan dalam Putrajaya, terutamanya jawatan nombor dua Kerajaan iaitu Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Pada 29 November lepas, Menteri Kanan Pertahanan yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, parti itu akan membangkitkan semula isu jawatan TPM, selepas selain perbahasan pembentangan Belanjawan 2021.

Ahli Parlimen Bera itu dilaporkan sebagai berkata, tuntutan itu dianggap perlu dengan kehendak akar umbi selepas UMNO dan Barisan Nasional hanya memperoleh satu jawatan Menteri Kanan sedangkan ia merupakan komponen terbesar dalam Kerajaan Persekutuan iaitu dengan 42 kerusi Parlimen.