Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sudah udah menandatangani dokumen pengisytiharan harta dan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, Pejabat Menteri Besar Perak memaklumkan dokumen yang ditandatangani Ahmad Faizal dengan disaksikan oleh pesuruhjaya sumpah itu diserahkan kepada SPRM Khamis lalu.

Namun, Portal Pengisytiharan Harta (https://mydeclaration.sprm.gov.my/) sehingga jam 5 petang Ahad belum mengemas kini maklumat berkenaan dokumen yang diserahkan oleh Ahmad Faizal.

“Untuk makluman juga, semua ahli jentera pentadbiran kerajaan negeri Perak termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai kanan kerajaan negeri dan pegawai kanan badan berkanun negeri juga sudah mengisytiharkan harta masing-masing.

“Ini adalah selari dengan komitmen kerajaan PH Perak kepada prinsip ketelusan dan akauntabiliti serta komitmen untuk memerangi rasuah dan salahguna kuasa,” kata kenyataan tersebut.

Sebelum ini media melaporkan seramai 13 ahli parlimen kerajaan belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Ahmad Faizal dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara nama yang tersenarai belum membuat pengisytiharan tersebut.

BACA: Anwar antara 13 belum isytihar harta