KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh sebagai Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Dalam satu kenyataan media, PMO turut memaklumkan kerusi Ahmad Nizam sebagai Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan diambil alih oleh Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

"Perdana Menteri mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Tan Sri Ahmad Nizam selama tiga tahun sebagai Pengerusi Petronas.

"Berdasarkan pengalaman beliau selama 37 tahun berkhidmat di Petronas dalam pelbagai jawatan, beliau telah berjaya mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar yang dihadapi negara dan dunia, termasuklah ketidaktentuan harga minyak dunia dan krisis pandemik COVID-19.

"Petronas masih kekal mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan merupakan syarikat unggul negara yang tersenarai dalam Fortune Global 500," memetik kenyataan itu.

PMO turut memaklumkan bahawa Ahmad Nizam akan kekal sebagai Pengerusi kumpulan syarikat KLCC.

Justeru, PMO yakin, pengalaman Ahmad Nizam di Petronas dan dalam pengurusan hartanah utama di KLCC akan membawa nafas baharu kepada hala tuju dan pengurusan PHB dalam meningkatkan pemilikan Bumiputera terhadap hartanah komersial negara.

Mengulas berkenaan Mohd Bakke, PMO memaklumkan beliau merupakan ahli korporat yang berpengalaman luas dan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.

"Diharapkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh beliau serta sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada, akan dapat membawa Petronas melalui tempoh mencabar sekarang ke tahap yang lebih cemerlang," memetik kenyataan tersebut.