KUALA LUMPUR: Seramai enam individu termasuk tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat berhubung kes penyeludupan dadah yang dipercayai menggunakan aset ketenteraan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua mereka akan dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan telah menerima arahan untuk menuduh tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam esok," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, enam suspek itu antara 13 individu yang ditahan menerusi operasi bersepadu bersama Cawangan Provos Marsyal TUDM pada 17 hingga 19 November lalu.
"Tujuh lagi suspek akan diambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pemeriksaan rutin terhadap barangan yang akan dimuatkan ke dalam pesawat TUDM di Pangkalan Udara Subang pada 17 November lalu membawa kepada penemuan dadah dalam lima bagasi dan sebuah kotak.
Susulan itu, pada 19 November, JSJN mengesahkan penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit mengedar 96.64 kilogram dadah menggunakan aset penerbangan tentera.
Risikan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Julai lalu dengan menyeludup dadah dari Semenanjung ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.
Dalam pada itu, Hussein berkata, JSJN komited memerangi dadah yang merupakan musuh nombor satu negara demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya melalui talian hotline JSJN di 0122087222," katanya. - Sinar Harian