KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah tahniah kepada Sultan Ibrahim yang melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau serta seluruh warga kementerian mendoakan agar Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sentiasa sihat sejahtera.

"Patik mendoakan, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sentiasa sihat sejahtera dan kekal mentadbir negara dengan penuh kebijaksanaan demi rakyat tercinta.

"Menjunjung kasih Tuanku. Daulat Tuanku," katanya dalam catatan menerusi Facebook.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan di Istana Negara hari ini ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober tahun lepas bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

-- BERNAMA