KUALA LUMPUR: Asia e University (AeU) pada Jumaat buat julung kalinya menganjurkan Intelligent Age Summit: Where Leadership Meets Recognition, yang menghimpunkan peneraju industri dan akademik bagi meneroka potensi kecerdasan buatan (AI) dapat dimanfaatkan tanpa mengetepikan aspek etika serta tadbir urus organisasi yang baik.
Persidangan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu diadakan bersempena penganugerahan Fellowship Chartered Management Institute (CMI) oleh AeU bagi tahun kedua, dengan memberi tumpuan kepada penerapan teknologi dan kepimpinan dalam amalan sebenar di tempat kerja.
Pengasas dan Presiden AeU Prof Datuk Ansary Ahmed dalam ucapan pembukaannya, berkata kepimpinan manusia perlu kekal menjadi teras kemajuan teknologi, dengan manusia terus mengawal AI dan bukannya membiarkan teknologi mengambil alih.
Sehubungan itu, beliau menyeru para graduan supaya terus memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan dan membimbing generasi pemimpin masa hadapan bagi membentuk legasi yang berkekalan, dalam menghadapi perkembangan pesat AI dan teknologi.
“Walaupun kita mungkin teruja dengan teknologi ini, pada akhirnya manusialah yang penting. Kita sebagai manusia yang perlu menguasai teknologi bukannya membiarkan teknologi menguasai kita.
“Harapan saya agar anda semua tidak berhenti di sini, sebaliknya terus menimba ilmu dan mula menyumbang kembali kepada masyarakat dengan membimbing generasi pemimpin akan datang. Itulah legasi yang sama-sama akan kita tinggalkan untuk generasi masa depan dan cucu-cucu kita seiring dengan perjalanan kita melangkah ke hadapan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor AeU Prof Noor Raihan Ab Hamid dalam ucapan penutup berkata kepimpinan manusia kekal sebagai elemen penting ketika semakin banyak organisasi mengintegrasikan teknologi dalam operasi mereka.
Beliau berkata institusi pendidikan tinggi juga perlu terus berkembang seiring dengan perubahan pesat teknologi, selain memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan pengamal industri.
“Algoritma tidak mengambil kira mengenai etika, budaya atau kesan sesuatu keputusan perniagaan terhadap manusia, hanya pemimpin yang peduli perkara tersebut. Kita tidak kata kita mempunyai semua jawapan dalam era perubahan teknologi yang pesat ini, namun kita percaya pendidikan tinggi perlu berkembang seiring dengan perubahan ini.
“Melalui kerangka APEL.Q dan kerjasama dengan CMI, AeU mengiktiraf pengalaman, cabaran, kepimpinan dan kejayaan yang dilalui sepanjang hidup sebagai kelayakan yang diiktiraf, sekali gus memastikan para sarjana kita mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk memimpin organisasi dengan penuh integriti dan berlandaskan matlamat yang jelas,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif CMI Ann Francke OBE dalam ucapan khas yang disampaikan menerusi rakaman video, berkata setiap organisasi perlu memastikan pengurus dan pemimpin dilengkapi dengan pengetahuan yang diperlukan untuk memahami dan melaksanakan automasi secara berkesan, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya potensi AI.
“Di CMI, kami percaya AI memerlukan kepimpinan manusia yang sebenar. Pengurus dan pemimpin perlu dilengkapi dengan pengetahuan untuk memahami dan melaksanakan automasi dengan betul bagi membolehkan manfaat teknologi ini direalisasikan sepenuhnya,” katanya.
Pada sidang kemuncak itu, turut diadakan sesi panel bertajuk Al for the Future of Humanity: Who Will Lead in the Intelligent Age?, yang menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi MIMOS Prof Ir Ahmad Nizar, pengasas Chapter Advisory Sdn Bhd Norlida Azmi, dan Pengarah Antarabangsa CMI Mahmoud AboulFotoh.
Antara isu yang dibincangkan termasuk penerapan teknologi digital secara praktikal dan beretika, pembelajaran berterusan serta kerjasama dalam mendepani transformasi digital, selain kerangka tadbir urus bagi memastikan nilai kemanusiaan terus menjadi panduan dalam penerapan teknologi.
Majlis itu turut menyaksikan AeU dan CMI menyampaikan Fellowship CMI kepada para sarjana dan alumni sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian profesional serta pengalaman kepimpinan mereka.
AeU dan CMI juga mengumumkan perancangan untuk menganjurkan bersama sebuah forum antarabangsa utama pada tahun hadapan, sekali gus mewujudkan platform tahunan bagi kepimpinan eksekutif dan pengiktirafan profesional di rantau ini.
-- BERNAMA