KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pengguna yang bukan sahaja memahami dan menggunakan kecerdasan buatan (AI), malah mampu mengaplikasikan teknologi itu untuk menyelesaikan masalah serta menghasilkan nilai.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata usaha membina masyarakat yang bersedia menghadapi era AI perlu dimulakan dengan memastikan setiap rakyat memahami kegunaan, risiko, kelemahan serta potensi penyalahgunaan teknologi berkenaan.
Jelasnya, pembina AI tidak semestinya terdiri daripada pakar AI atau saintis komputer, sebaliknya sesiapa sahaja yang mampu mengenal pasti masalah, memahami bagaimana AI boleh digunakan untuk menanganinya serta menterjemahkan idea kepada produk, perkhidmatan atau penyelesaian praktikal yang mampu menghasilkan nilai di Malaysia, ASEAN dan peringkat global.
“Kalau kita tidak faham, teknologi ini akan membangun dan membangun tanpa disedari oleh masyarakat kita berkenaan dengan sebenarnya apakah kegunaannya, dan apa pula risikonya,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Rakyat Digital di The Campus, Ampang, pada Selasa.
Gobind berkata kesedaran mengenai AI tidak seharusnya terhad kepada golongan pelajar atau mereka yang mengikuti pendidikan formal, sebaliknya perlu diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat.
Katanya, kerajaan perlu memastikan mesej mengenai AI dapat disampaikan secara mudah dan pantas menerusi modul pembelajaran yang ringkas serta mudah difahami.
“Bagaimana kita boleh pastikan bahawa mesej ini kita sampaikan kepada semua lapisan masyarakat, daripada muda sehingga tua. Kerana orang yang sekarang bekerja, bersara dan sebagainya, mereka juga perlu tahu apakah sebenarnya AI,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia tidak boleh hanya menjadi sebuah negara yang menggunakan AI, sebaliknya perlu membangunkan lebih ramai inovator, pencipta dan pembina penyelesaian berasaskan AI.
Justeru, kerajaan mempunyai peranan penting untuk memastikan AI dapat diakses seramai mungkin rakyat dengan membawa peluang pembelajaran lebih dekat kepada masyarakat serta menyediakan kaedah fleksibel untuk mereka meningkatkan kemahiran mengikut kemampuan dan kadar masing-masing.
Pendekatan itu katanya, menjadi asas kepada peluasan Rakyat Digital, platform pembelajaran dalam talian kerajaan yang diperkenalkan pada Januari 2024 bagi menjadikan pengetahuan dan kemahiran digital lebih mudah diakses rakyat.
Beliau berkata Rakyat Digital kini diperluaskan daripada fokus asal terhadap literasi digital kepada ekosistem pembelajaran digital yang lebih menyeluruh, termasuk AI, berteraskan tiga keutamaan iaitu awareness (kesedaran), access (akses) dan adoption (penerimagunaan).