SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor melaksanakan 843 pemeriksaan di terminal bas di Seksyen 17, di sini dan Jalan Reko, Bangi, sepanjang 18 hari Ramadan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, semua bas diperiksa bagi memastikan keselamatan penumpang selain keadaan bas yang selamat digunakan.

Menurutnya, untuk perjalanan yang melebihi 300 kilometer, dua pemandu bas diperlukan bagi mengelakkan pemandu keletihan ketika memandu jauh.

"Pemeriksaan dilakukan terhadap pemandu dan teknikal kenderaan seperti keadaan tayar dan brek kenderaan.

"Bermula 1 Ramadan iaitu 12 Mac hingga 29 Mac, JPJ Selangor telah melaksanakan 843 pemeriksaan dan telah mengesan sembilan kesalahan cermin retak," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, JPJ Selangor telah mengeluarkan sembilan notis saman termasuk arah periksa dan larangan penggunaan kenderaan.

Tegas Azrin, pihaknya mahu memastikan semua kenderaan perkhidmatan awam mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

"JPJ Selangor akan sentiasa membuat pemantauan secara berterusan selain merancang pelbagai strategi penguatkuasaan seperti penyamaran, rondaan dan pemeriksaan bas di terminal bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi memastikan pengusaha dan pemandu bas mematuhi peraturan jalan raya," ujarnya.

Tambahnya, sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau melalui platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan. - Sinar Harian