PUTRAJAYA: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menyediakan sebanyak 15,120 tiket tambahan termasuk tren ekspres, dengan menawarkan 1,260 tiket sehari sempena sambutan Aidilfitri.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tambahan tiket tersebut turut melibatkan enam perkhidmatan tren elektrik (ETS) dari 4 April hingga 15 April, menjadikan keseluruhan tiket ETS yang ditawarkan termasuk tren biasa dan tambahan adalah 135,000 tiket.

"Enam perkhidmatan ETS adalah melibatkan dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral - Padang Besar - KL Sentral; dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral - Butterworth - KL Sentral; dan dua perkhidmatan ekspress laluan untuk KL Sentral - Ipoh - KL Sentral.

"Khusus buat mereka yang akan pulang ke Pantai Timur, KTMB turut menyediakan dua perjalanan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik yang akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.

"Sebanyak 952 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan khas ini," katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pengumuman Initiatif Tambah Baik Perjalanan Balik Kampung Sempena Hari Raya Aidilfitri.

Loke menambah, tren Khas ELA berkenaan akan berhenti di 17 buah stesen; iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

Ujar beliau tiket tambahan untuk ETS dan perkhidmatan khas ELA dijual hari ini (22 Mac) mulai jam 5.00 petang.

Sementara itu, Loke berkata kenderaan berat dilarang menggunakan jalan raya selama empat hari iaitu 8 dan 9 April, serta 13 dan 14 April.

"Untuk musim perayaan memang saya sudah tanda tangan gazet tersebut iaitu dua hari sebelum raya pada 8 dan 9 April, dan  akan dikenakan larangan terhadap kenderaan-kenderaan berat di atas jalan raya.

"Selain itu, dua hari selepas raya iaitu Sabtu dan Ahad (13 dan 14 April)," katanya.