IPOH: Lebih tiga juta kenderaan dijangka memasuki Perak melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) menjelang sambutan Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata kenderaan akan berpusu-pusu masuk khususnya pada waktu puncak iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad ini.

"Pengguna yang datang dari Selangor seperti Kuala Selangor, Banting dan Sabak Bernam umpamanya, mereka boleh gunakan WCE untuk redakan laluan di Lebuhraya Utara-Selatan. Jika mahu teruskan lagi ke arah utara, maka barulah masuk Lebuhraya Utara-Selatan ataupun jalan lama.

"Jika ikutkan kepada pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dijangkakan lebih dua juta pengguna di seluruh negara akan berada di atas lebuh raya, namun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menjangkakan tiga juta kenderaan akan berada di lebuh raya dalam negeri ini untuk tiga hari kemuncak (Jumaat, Sabtu dan Ahad), " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Perak (MKJR) dan JPJ Perak di Mydin Mall Meru Raya di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan dan Timbalan Pengerusi MKJR Negeri Perak Datuk Nor Sham Rahman.

Mohammad Nizar berkata pengguna lebuh raya disaran mematuhi cadangan waktu perjalanan (TTA) bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan semasa pulang beraya.

"Kerajaan negeri berharap pengguna jalan raya mengambil berat aspek keselamatan semasa memandu selain sentiasa dalam keadaan tenang, tidak gopoh dan sabar ketika pemanduan.

"Kita harapkan sasaran MKJR Perak untuk mencapai visi menjadikan Malaysia berjaya mencapai sasaran pengurangan 50 peratus jumlah kematian akibat nahas jalan raya pada penghujung 2030 nanti," katanya.

Beliau turut mengingatkan pengguna sentiasa berwaspada di kawasan khususnya kawasan kemalangan seperti Terowong Menora, Lebuhraya Ipoh-Lumut khususnya di Batu Gajah ke Siputeh, Tronoh dan sekitar Manjung terutama di pelabuhan berdekatan Kampung Acheh.

-- BERNAMA