SEREMBAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan melupuskan 6,069 tan sisa pepejal bagi tempoh seminggu sepanjang sambutan Aidilfitri hingga 8 Mei lepas di tiga tapak pelupusan di negeri ini.

Pengarahnya, Siti Yusnita Mohamad Yusof berkata jumlah itu mengalami penurunan berbanding ketika perayaan Aidilfitri dalam tempoh sama tahun lepas yang mencatatkan jumlah pelupusan sebanyak 6,793 tan sisa pepejal.

"Sisa makanan didapati paling tinggi dilupuskan iaitu 2,184 tan (36 peratus) dan daripada jumlah itu, kira-kira 76 peratus sisa buangan makanan boleh dielakkan daripada dilupuskan seperti nasi manakala 24 peratus sisa makanan tidak boleh dielakkan pembuangan seperti tulang ayam.

"Seremban pula merekodkan angka tertinggi melupuskan sisa pepejal iaitu berjumlah 4,643 tan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata bagi memastikan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam berjalan lancar ketika Aidilfitri, satu pelan strategi operasi dilaksanakan termasuk melibatkan 1,134 pekerja SWM Environment Sdn Bhd dan 165 kenderaan serta jentera bermula 1 hingga 5 Mei lepas di 287 lokasi.

Dalam pada itu, Siti Yusnita berkata ketiga-tiga tapak pelupusan sisa pepejal di Negeri Sembilan iaitu di Port Dickson, Kuala Pilah dan Jelebu masih mampu menampung jumlah pelupusan sisa pepejal dari tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Persekutuan merancang menggantikan tapak pelupusan di Kuala Pilah dan Jelebu kepada stesen pemindahan sisa pepejal baharu pada masa akan datang bagi memastikan perkhidmatan dan pelupusan sisa lebih sistematik selain menjimatkan penggunaan tanah.

"Stesen pemindahan ini berfungsi sebagai pusat pengumpulan sisa pepejal sementara dengan kenderaan kutipan seperti kompaktor akan menghantar sisa pepejal dari setiap daerah ke stesen pemindahan berkenaan dan dikumpulkan ke kenderaan pengangkut berkapasiti besar," katanya.

Beliau berkata sisa itu kemudian akan dihantar ke tapak pelupusan di Port Dickson pada hari yang sama dengan perancangan masa hadapan kesemua sisa pepejal akan dilupuskan di lokasi terbabit.

Menurutnya, tapak pelupusan di Port Dickson itu telah siap dibina dengan Waste Segregation Facility dan Waste to Energy bagi menaik taraf sistem dan kaedah pelupusan sisa pepejal yang mesra alam sekali gus meningkatkan perkhidmatan penghantaran sisa pepejal.

"Selain itu, guna tanah milik kerajaan negeri dapat dioptimumkan kepada projek lain yang dapat memberi pulangan yang lebih baik kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai kaedah dibuat supaya orang ramai mengurangkan pelupusan sisa pepejal termasuk melalui libat urus dan pemantauan dari rumah ke rumah bagi menggalakkan mereka melaksanakan pengasingan sisa di punca iaitu mengasingkan sisa makanan dengan barangan yang boleh dikitar semula.

"Melalui pengasingan ini, penghuni rumah mempunyai pilihan sama ada menjual barangan boleh kitar semula di pusat kitar semula atau menyertai program KITARecyle yang dijalankan SWM Environment Sdn Bhd serta mengeluarkan barangan kitar semula tersebut pada hari kutipan untuk dilupuskan," katanya.

Selain itu, Siti Yusnita berkata SWCorp juga telah mewujudkan Drive Tru Recycling Centre di Rembau dan Port Dickson bagi memudahkan orang awam membawa barangan kitar semula untuk dijual.

-- BERNAMA