SEREMBAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan menjangkakan peningkatan 15 peratus jumlah sisa buangan bahan makanan dari Bazar Ramadan pada tahun ini.

Pengarahnya Siti Yusnita Mohamad Yusof berkata peningkatan itu dijangka kerana penambahan lokasi dan peniaga di Bazar Ramadan di negeri ini berbanding tahun sebelum ini yang sedikit terhad susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19.

"Tahun lepas, kita jangkakan 10 peratus sisa makanan daripada penganjuran bazar ini dengan kira-kira 4,000 tan sisa dihasilkan sehari. Tahun ini ia mungkin bertambah hampir 6,000 tan sehari," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen MySaveFood Ramadan 2023 di sini pada Isnin.

Justeru, beliau berkata SWCorp merancang pelbagai program kesedaran sempena Ramadan bagi mengelakkan pembuangan dan pembaziran makanan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penganjur Bazar Ramadan.

Menurutnya, kempen itu merupakan antara inisiatif mengurangkan pembaziran makanan di Bazar Ramadan dengan lebihan makanan yang masih elok dan tidak berjaya dijual akan diberikan kepada golongan yang memerlukan.

Siti Yusnita berkata 716.5 kilogram (kg) makanan dan 385.3 kg minuman diselamatkan daripada dibuang ke tapak pelupusan sisa pepejal dan diagihkan kepada mereka yang tidak bernasib baik pada tahun lepas menerusi program itu.

Kempen MySaveFood Ramadan diadakan dengan kerjasama Pemuda GEMA Negeri Sembilan membabitkan tujuh Bazar Ramadan di Seremban serta Nilai dan 22 lokasi agihan makanan selain turut disertai 161 sukarelawan termasuk mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.

-- BERNAMA