GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan menyalurkan bantuan kepada penternak ikan dalam sangkar di sekitar perairan Teluk Bahang di sini yang mengalami kerugian apabila banyak ikan ternakan mereka mati akibat fenomena air pasang merah atau kejadian air merah sejak minggu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri Fahmi Zainol berkata bantuan itu bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung mereka, masing-masing membabitkan kerugian RM200,000 hingga RM300,000.

"Kejadian itu telah menyebabkan enam penternak ikan dalam sangkar mengalami kerugian selepas 12 tan ikan yang diternak mati, saya telah bawa perkara ini ke mesyuarat exco (minggu lepas) dan mohon bantuan yang sesuai daripada kerajaan negeri untuk mengurangkan beban kerugian yang ditanggung mereka.

''Mungkin kita (kerajaan negeri) akan bantu penternak dari segi pemberian benih ikan atau bantuan tunai, yang akan disalurkan dengan persetujuan dan kelulusan Ketua Menteri,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Jualan Agro MADANI di kawasan DUN Pantai Jerejak di Bayan Baru, dekat sini hari ini.

Sebelum ini beberapa nelayan sekitar sini menyuarakan rasa bimbang dengan fenomena air merah itu yang didakwa berlaku sejak 26 Ogos, apabila ia menyebabkan ikan dan hidupan laut lain mati, iaitu bermula kira-kira satu kilometer dari kawasan Muka Head sehingga ke kawasan pesisir pantai dekat Teluk Bahang.

Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang pula memaklumkan bahawa keputusan awal analisis yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung mendapati kejadian itu berpunca daripada kemunculan sejenis alga dari spesies Noctiluca Scintillans, yang bersifat bukan toksin dan tidak berbahaya kepada manusia.

Fahmi berkata berdasarkan kepada pemantauan agensi terlibat, fenomena air merah itu didapati tidak merebak ke kawasan perairan lain di negeri ini, dan kewujudannya di perairan berkenaan juga kelihatan semakin berkurangan.

''Setakat ini kejadian air pasang merah ini berlaku di kawasan perairan Teluk Bahang sahaja, tidak merebak ke kawasan lain, ia kejadian semula jadi, dan alga berkenaan telah berkurangan selepas kira-kira lima hari berada di perairan Teluk Bahang.

"Kajian juga mendapati ikan (yang mati) itu tidak berbahaya kepada manusia dan boleh dimakan, tapi kita faham penduduk takut untuk makan ikan itu. Ikan-ikan berkenaan mati disebabkan alga masuk ke dalam insang menyebabkan ia (ikan) kekurangan oksigen dan mati," katanya.

Fahmi turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan kehadiran alga berkenaan berpunca daripada kegiatan penambakan laut.

-- BERNAMA