KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) komited untuk terus membangunkan industri bekalan air pulih guna bagi kegunaan pelbagai industri.

Dalam kenyataan bersama pada Jumaat, kedua-dua pihak menyatakan bahawa Central Water Reclamation Sdn Bhd akan mengenal pasti usaha sama lain berkaitan dengan loji rawatan IWK, termasuk loji di Pantai 2, Kuala Lumpur dan Seksyen 23, Shah Alam, Selangor.

"Ini merupakan komitmen jangka panjang Air Selangor dan IWK ke arah pembangunan industri air negara yang lebih cekap dan mapan bagi mendukung sasaran negara dalam mengitar semula 33 peratus daripada efluen terawat negara pada 2030 di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030," demikian menurut kenyataan bersama itu.

Central Water merupakan syarikat tujuan khas dengan pegangan 60 peratus oleh Air Selangor manakala baki 40 peratus dipegang oleh IWK.

Ia ditubuhkan pada Mac 2021 berteraskan misi untuk menerajui industri bekalan air pulih guna dengan mengoptimumkan penggunaan sumber-sumber air sedia ada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain memelihara alam sekitar.

Dalam perkembangan lain, pengeluar sarung tangan getah, Kossan Rubber Industries Bhd menjadi pelanggan pertama air pulih guna untuk kegunaan industri bukan berasaskan makanan atau minuman yang dihasilkan oleh Central Water untuk kegunaan industri dan dibekalkan oleh Air Selangor.

Central Water menghasilkan bekalan air pulih guna di loji rawatan di Setia Alam yang seterusnya diagihkan oleh Air Selangor kepada Kossan melalui jajaran paip khas.

Satu perjanjian telah dimeterai antara Central Water dan Air Selangor pada Jumaat bagi bekalan air pulih guna secara pukal.

Selain itu, perjanjian berasingan bagi bekalan air pulih guna kepada tiga anak syarikat milik Kossan juga telah ditandatangani antara Air Selangor dan Kossan.

-- BERNAMA