KUCHING: AirBorneo memohon maaf kepada penumpang yang terjejas akibat kelewatan dan pembatalan penerbangan baru-baru ini di Sarawak dan Sabah, selain mengakui bahawa gangguan itu telah menimbulkan kesulitan dan ketidakpastian kepada penumpang serta keluarga mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata gangguan itu berpunca daripada beberapa pesawat yang tidak dapat beroperasi secara serentak berikutan keperluan penyelenggaraan berjadual dan kerja-kerja pembaikan teknikal yang tertangguh disebabkan jadual penghantaran komponen gantian penting.
Beliau berkata walaupun keselamatan kekal sebagai keutamaan tertinggi AirBorneo, syarikat penerbangan milik Kerajaan Negeri Sarawak itu mengakui sepenuhnya kesan gangguan ini terhadap komuniti yang bergantung kepada perkhidmatannya setiap hari.
"Fokus kami sekarang ialah memulihkan perkhidmatan yang boleh dipercayai sambil memastikan setiap pesawat memenuhi piawaian keselamatan dan kelayakan penerbangan yang ditetapkan," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Megat Ardian Wira berkata AirBorneo melaksanakan beberapa langkah tambahan dari segi operasi dan penyelenggaraan bagi memperkukuh keupayaan armadanya serta membantu memulihkan semula jadual penerbangan secara berperingkat.
"Insiden yang berlaku baru-baru ini sememangnya amat mengecewakan namun ia tidak mengubah komitmen kami untuk terus berkhidmat kepada rakyat Sarawak dan Sabah.
“Kami sedar masih banyak yang perlu dilakukan untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan kami bertekad untuk meraih kembali kepercayaan itu melalui tindakan yang kami laksanakan setiap hari," katanya.
Menurut kenyataan itu, AirBorneo kini melaksanakan program pembaharuan dan pengembangan armadanya termasuk pengenalan pesawat ATR 72-600 dalam masa terdekat.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa penambahan pesawat akan memperkukuh daya tahan operasi, menyediakan lebih fleksibiliti merentasi rangkaian penerbangannya dan menyokong komitmen AirBorneo untuk menyediakan perkhidmatan udara yang selamat, boleh dipercayai serta konsisten di Sarawak dan Sabah.
Menurut kenyataan itu, penumpang yang terjejas telah dihubungi bagi urusan penjadualan semula penerbangan, bayaran balik dan bantuan perjalanan lain.
Makanan, penginapan dan pengangkutan darat juga disediakan jika diperlukan.
Penumpang yang memerlukan bantuan lanjut atau mempunyai pertanyaan mengenai perjalanan mereka boleh menghubungi petugas Khidmat Pelanggan AirBorneo di +60 82 537 555 (Antarabangsa) atau 1 300 22 1388 (Tempatan) atau layari airborneo.com/en/contact-us.
-- BERNAMA