GEORGE TOWN : Semua pihak digesa bekerjasama untuk membanteras ajaran sesat di negara ini daripada terus disebarkan secara berleluasa oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Gesaan itu dibuat Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berikutan Ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace cuba ditularkan kembali menerusi media sosial di negara ini.

Wan Salim berkata, ajaran itu cuba disebarkan semula walaupun telah lama difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri.

"Semua pihak perlu bekerjasama untuk membanteras ajaran sesat ini agar ia tidak disebarkan semula setelah ia diharamkan.

"Saya mengharapkan kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan terutamanya polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar turut serta memainkan peranan bagi memastikan ajaran ini tidak tersebar dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar mengesahkan Ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace adalah bertentangan dengan syariat Islam.

Mohd Na'im berkata, pihaknya akan memastikan semua kandungan di media sosial mengenai ajaran itu diturunkan seberapa segera bagi mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh.

Tambah Wan Salim, di Pulau Pinang, ajaran Qadiani atau Ahmadiah diputuskan sebagai sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, bilangan 2/2017 dan telah diwartakan.

"Susulan itu, masyarakat Islam di negeri ini dilarang mengamalkan ajaran berkenaan. Larangan juga membabitkan segala usaha untuk mengedar, membeli, memiliki atau menyampaikan ceramah tentang sebarang publisiti dan siaran yang menonjolkan kefahaman tersebut.

"Selaku Mufti Pulau Pinang, saya menyokong arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) agar semua jabatan dan agensi Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) sendiri, Majlis Agama Islam Negeri supaya bergabung tenaga untuk membanteras ajaran sesat ini dan ajaran-ajaran lain sepertinya," ujar beliau lagi.

Menurutnya, terdapat beberapa kesalahan dan dakwaan palsu di dalam video yang tular oleh ajaran tersebut, antaranya Imam Mahdi akan mengubah syariat termasuk ibadat solat.

"Ia ternyata tidak benar kerana menurut kepercayaan ahli Sunnah Wal Jama’ah, berdasarkan hadis-hadis mutawatir, Imam Mahdi tidak akan membawa sebarang ajaran baru yang bercanggah dengan syariat yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

"Begitu juga dakwaan bahawa Kaabah yang asal bukan terletak di Makkah tetapi di Petra, Jordan adalah bercanggah dengan fakta sejarah malah dengan sirah atau biografi Nabi Muhammad sendiri yang dirakam dengan rapi dan teliti oleh ahli-ahli sejarah seperti Abu Ishak, At-Tabari, Ibnu Kathir dan ramai lagi," tambah Wan Salim.

Beliau turut berharap agar kesucian agama Islam di negara ini sentiasa terpelihara daripada dicemari oleh segala ajaran sesat dan fahaman yang terpesong.

Ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace telah menamakan seorang lelaki dipercayai rakyat Malaysia yang diberikan taraf bishop sebagai ketua dan bertanggungjawab menyebarkan dakyah serta menguruskan pengikut mereka di negara ini.

Agama itu juga mempunyai pengikut dan bishop yang dilantik di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, Afghanistan, Thailand, United Kingdom dan Turkiye.

Menggunakan platform media sosial, gerakan itu cuba menyebarkan dakyah mereka menerusi video pendek yang antaranya jelas mempertikaikan Islam dan ulama.

Berdasarkan laman sesawang mereka, agama berkenaan diasaskan individu bernama Ahmad Ismail atau dikenali oleh pengikutnya sebagai Imam Ahmad Al-Hassan berasal dari Basra, Iraq. - Sinar Harian