KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu pihaknya bekerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkaitan isu ajaran sesat 'The Ahmadi, Religion of Light and Peace' (Ahmadi - Agama Keamanan dan Cahaya).

Jelas Saifuddin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan lanjut sekiranya wujud ancaman yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

Katanya, beliau sentiasa mengikuti perkembangan kes itu dan berhubung dengan Mohd Na'im, kerana beliau lebih berkredibiliti dalam perkara berkaitan akidah.

“Fokus beliau meminta pertolongan Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah sekiranya ada unsur penyebaran menyebabkan ancaman dan ketenteraman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian PDRM Special Dialogue 2024 di Maktab PDRM Cheras pada Isnin.

Terdahulu, media melaporkan ajaran sesat itu dipercayai menjalankan operasi mereka di luar negara.

Mohd Na'im berkata, beliau turut menyaksikan sendiri penstriman secara langsung seterusnya mengarahkan Jakim dan Jawi memantau ajaran berkenaan kerana jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Tambahnya lagi, beliau memandang serius ajaran berkenaan kerana bimbang akan mempengaruhi generasi muda.