KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita ketua ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) di Shah Alam pada pagi Sabtu.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni.

Jelasnya, wanita berusia 39 tahun itu ditahan di kediamannya kira kira jam 1.10 pagi.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, kad bank, resit pemindahan wang ke akaun bank tempatan bernilai lebih RM84,000 dan sepasang telekung putih.

Sebelum ini, suspek dikatakan ada membuat laporan polis bagi menyatakan bahawa tidak pernah mewujudkan kumpulan ajaran sesat atau bertentangan dengan ajaran Islam.

Suspek turut menafikan semua tuduhan termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 7 September depan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," jelasnya.

Sebelum ini, tular di laman sosial berhubung individu dengan nama 'Sittah Annur' yang dikaitkan dengan ajaran sesat kumpulan terbabit yang mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah.

Wanita terbabit turut mendakwa memimpin pasukannya mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh dan mempunyai keistimewaan meramal masa depan.

Sehingga kini, sebanyak enam laporan polis telah dibuat berhubung isu itu.