SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang meninggal dunia malam tadi.
Menerusi hantaran dalam media sosial Selangor Royal Office, baginda berdua menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian Allahyarham.
“Baginda mengenali Allahyarham sebagai seorang yang komited dan berdedikasi dalam setiap kes berprofil tinggi yang dikendalikannya. Allahyarham turut terlibat dalam beberapa sesi Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Selangor.
“Atas khidmat dan jasa bakti, baginda telah mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Setia Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S) kepada Allahyarham pada tahun 2003,” menurut hantaran itu.
Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama para solihin.
Abdul Gani, 71, menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta malam tadi akibat jangkitan.
Allahyarham pernah memegang jawatan Peguam Negara selama 13 tahun bermula 2002 hingga 2015.
-- BERNAMA