Ringkasan AI
- Sebanyak 186,318 unit kediaman daripada projek dilancarkan sejak 2020 masih belum terjual, dengan nilai dianggarkan sehingga RM230 bilion, menurut PropLaunch.
- Projek dilancarkan pada 2025 dan separuh pertama 2026 menyumbang 70 peratus daripada inventori tidak terjual, dengan kadar kelulusan pinjaman perumahan terus menurun.
- Unit tidak terjual tertinggi melibatkan pembangunan bertingkat tinggi dan harga permulaan RM500,000 ke atas, dengan Selangor, Johor dan Kuala Lumpur paling terkesan.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 186,318 unit kediaman daripada projek yang dilancarkan sejak 2020 masih belum terjual di Malaysia, dengan nilai keseluruhan dianggarkan antara RM105.3 bilion hingga RM230 bilion, menurut platform data hartanah PropLaunch.
Sebahagian besar unit tidak terjual itu melibatkan projek yang dilancarkan dalam tempoh dua tahun lepas.
โProjek yang dilancarkan pada 2025 menyumbang 78,666 unit tidak terjual, manakala projek yang dilancarkan pada separuh pertama 2026 menyumbang 52,229 unit lagi. Kedua-duanya mewakili 70 peratus daripada keseluruhan inventori tidak terjual,โ menurut PropLaunch dalam kenyataan.
Sebanyak 42,619 unit lagi masih belum terjual daripada 298 projek yang dilancarkan antara Julai hingga Oktober 2026.
Secara keseluruhan, projek yang dilancarkan tahun ini sahaja menyumbang kira-kira 94,800 unit kediaman tidak terjual, melebihi jumlah keseluruhan projek yang dilancarkan antara 2020 hingga 2024.
PropLaunch memaklumkan peningkatan inventori itu berlaku ketika kelulusan pinjaman perumahan menunjukkan trend penurunan, dengan data Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan nisbah kelulusan pinjaman perumahan merosot kepada 39.1 peratus pada separuh pertama 2026, paras terendah sejak 2021.
Nisbah itu berbanding kira-kira 41 peratus pada 2025 dan 42 peratus pada 2024, meskipun BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus sepanjang 2026.
Nilai permohonan pinjaman perumahan meningkat 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM231.03 bilion, manakala nilai pinjaman yang diluluskan susut 1.2 peratus kepada RM90.35 bilion.
Dari segi harga, PropLaunch memaklumkan 45 peratus unit tidak terjual daripada projek yang dilancarkan pada separuh pertama 2026 melibatkan pembangunan dengan harga permulaan RM500,000 dan ke atas, menunjukkan kemungkinan harga hartanah menjadi antara faktor yang mempengaruhi permintaan.
Pembangunan dengan harga di bawah RM300,000 mencatat kadar unit tidak terjual terendah sebanyak 48.2 peratus, manakala pembangunan dengan harga permulaan antara RM750,000 hingga RM999,000 merekodkan kadar tertinggi sebanyak 67.4 peratus.
Daripada 90,431 unit kediaman yang dilancarkan menerusi 480 projek pada separuh pertama 2026, sebanyak 52,345 unit atau 57.9 peratus masih belum terjual, dengan nilai dianggarkan antara RM30.4 bilion hingga RM56.2 bilion.
Selangor merekodkan jumlah unit tidak terjual tertinggi daripada projek yang dilancarkan dalam tempoh itu, iaitu 14,980 unit, diikuti Johor (10,593 unit) dan Kuala Lumpur (8,885 unit).
Ketiga-tiga pasaran itu secara keseluruhan menyumbang kira-kira dua pertiga daripada jumlah unit tidak terjual.
Pulau Pinang pula mencatat kadar unit tidak terjual tertinggi dalam kalangan negeri yang mempunyai aktiviti pelancaran projek yang ketara, dengan 75.9 peratus daripada 8,161 unit yang dilancarkan masih belum terjual.
Dari segi jenis pembangunan, projek bertingkat tinggi menyumbang 71 peratus daripada keseluruhan unit kediaman tidak terjual bagi projek yang dilancarkan sejak 2020.
Bagi projek yang dilancarkan pada separuh pertama 2026, sebanyak 87 pembangunan bertingkat tinggi menyumbang 34,764 unit tidak terjual, iaitu kira-kira dua pertiga daripada jumlah bagi tempoh itu. Sementara itu, pembangunan bertanah mencatat kadar unit tidak terjual sebanyak 51.6 peratus.
PropLaunch memaklumkan sebanyak 4,759 unit berjaya dijual daripada pembangunan berkenaan dalam tempoh sebulan lepas, bersamaan kira-kira 1,110 unit seminggu.
Berdasarkan kadar jualan bulanan semasa, platform itu menganggarkan kira-kira 39 bulan diperlukan untuk menghabiskan inventori sedia ada sebanyak 186,318 unit, dengan andaian tiada bekalan baharu memasuki pasaran.
Bagaimanapun, pemaju terus memperkenalkan bekalan baharu apabila 298 pembangunan membabitkan 57,108 unit kediaman dilancarkan di seluruh Malaysia antara Julai hingga Oktober 2026.
-- BERNAMA