PUTRAJAYA: Akaun Facebook rasmi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) digodam hari ini dan tidak dapat diakses oleh semua pentadbir akaun.

Mengesahkan perkara itu, EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan akaun laman sosial di alamat https://www.facebook.com/eaicofficial itu digodam pada 11 pagi tadi.

"EAIC sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mendapatkan kembali akses ke akaun tersebut," katanya.

Sehubungan itu, EAIC menafikan sebarang status atau kenyataan yang dimuat naik di laman itu selepas 11 pagi.

Semakan mendapati status terakhir di laman Facebook itu ialah pada 11 malam semalam mengenai sesi libat urus EAIC bersama Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia di Padang Besar, Perlis.

-- BERNAMA