Ringkasan AI
- Barisan Nasional dan Perikatan Nasional belum mengadakan perbincangan rasmi untuk menghadapi PRU16 walaupun pernah bekerjasama dalam tiga pilihan raya negeri.
- BN menegaskan tidak akan menggunakan nama Muafakat Nasional kerana ia kini merupakan sebuah NGO dan bukan lagi platform politik.
- Ahmad Zahid menekankan keperluan semangat persefahaman dan keikhlasan dalam kerjasama, terutama di negeri-negeri SG4 dan lima negeri diterajui BN.
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masih belum mengadakan perbincangan secara rasmi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), meskipun kerjasama politik antara kedua-dua gabungan itu telah terjalin dalam tiga pilihan raya negeri sebelum ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata masih terdapat banyak perkara yang perlu diperincikan bagi memastikan pengalaman lalu tidak berulang.
Selain itu, beliau berkata BN mengambil ketetapan untuk tidak lagi menggunakan nama Muafakat Nasional kerana entiti berkenaan kini telah digunakan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Kita menghargai pandangan dan pendirian berkenaan dan tentunya kita akan meneliti prinsip-prinsip tahaluf siyasi yang telah berjalan selama ini dalam tiga pilihan raya negeri sebelum ini.
"Namun, untuk menghadapi PRU16, kita harus meneliti beberapa perkara yang perlu diperincikan.
"Untuk secara rasmi, terlalu awal untuk mengadakan perbincangan secara rasmi, walaupun perbincangan-perbincangan secara informal itu telah dilakukan di peringkat kepimpinan dan sekretariat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena lawatan kerja lima hari bermula Isnin bagi menghadiri mesyuarat pengurusan bencana ASEAN serta agenda pembangunan luar bandar.
Media sebelum ini melaporkan pendirian Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bahawa kerjasama politik berteraskan pengalaman lalu tidak akan berakhir seperti Muafakat Nasional, selain mahu menjadikan kegagalan terdahulu sebagai pengajaran menjelang PRU16.
Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid menegaskan UMNO dan BN tidak berniat menjadikan Muafakat Nasional sebagai sebuah platform politik pada masa hadapan.
"Nama itu tergantung kepada persetujuan, tetapi supaya pengalaman lalu itu tidak berulang, tentunya kita tidak akan menggunakan nama itu kerana nama yang telah diperakukan melalui perjanjian yang lalu itu telah diciplak oleh seseorang dan dijadikan sebagai sebuah badan NGO," jelasnya.
Semangat persefahaman dan kedudukan negeri
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata semangat persefahaman antara parti perlu diterjemahkan melangkaui soal perincian teknikal, termasuk melibatkan kerjasama di negeri-negeri SG4 dan lima negeri yang diterajui BN iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Perak.
"Pada hemat saya, yang paling penting ialah semangat persefahaman itu perlu diterjemahkan bukan sahaja dalam soal perincian, malah kerjasama di negeri-negeri SG4, di samping lima negeri yang berada di bawah pentadbiran BN iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Perak," katanya.
Beliau menambah pendekatan ke hadapan perlu berlandaskan keikhlasan agar situasi yang berlaku pada pilihan raya umum lalu tidak berulang.
"Pada hemat saya, kita harus memandang ke hadapan secara positif dan mendasarkan kerjasama ini dalam bentuk perpaduan yang berlandaskan keikhlasan.
"Kita mahu apa yang berlaku pada pilihan raya umum lalu tidak berlaku lagi, sebagaimana yang diharapkan oleh Presiden Pas," tegas beliau.