Skip to main content

Malaysia

Akauntan berusia 29 tahun dilantik Undang Luak Sungei Ujong baharu

SEREMBAN - Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu melantik seorang akauntan berusia 29 tahun sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu._SINAR HARIAN
Pelantikan Datuk Klana Petra, Undang Luak Sungei Ujong ke-11 itu dibuat dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang pada 22 April lepas.

SEREMBAN: Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu memilih dan melantik Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu.

Menerusi kenyataan media bersama itu, pelantikan Muhammad Faris, 29, seorang akauntan, sebagai Datuk Klana Petra, Undang Luak Sungei Ujong ke-11 dibuat dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang pada 22 April lepas.

Advertisement

"Kami, Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-Waris Klana Hulu secara muafakat (consensus) memilih dan melantik Waris Klana Hulu Muhammad Faris Johari sebagai Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-11 dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang," menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu, istiadat kerapatan dijalankan di bawah undang-undang teradat, iaitu berkeadilan, berundang, bersalasilah dan berteromba.

Istiadat itu diperkukuh Ibu Soko Klana Hilir dan Waris Klana Hilir serta disaksikan Ibu Soko Waris Negeri, Waris Negeri, Datuk Lembaga Lingkungan, To' Buapak Lingkungan dan pegawai kerajaan.

Pemilihan mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 serta hukum adat "patah tumbuh" termaktub pada Fasal 5 Undang-Undang Sungei Ujong.

Berdasarkan Fasal 48 (VI) Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910, pelantikan disahkan Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim, iaitu Tua Lembaga Waris di-Darat yang sah dan diiktiraf kerajaan Negeri Sembilan. 

Aturan adat menjadikan pelantikan Datuk Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar, selaras dengan Fasal 14(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. 

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video