Akibat cemburu, seorang peniaga nasi ayam bertindak menikam teman lelaki bekas kekasihnya di bahagian perut sehingga menyebabkan isi perut mangsa terburai, dalam kejadian awal pagi ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi di sebuah pusat hiburan di Lorong Abu Siti, di sini.

Dalam kejadian itu juga, suspek turut menikam pemilik pusat hiburan berkenaan berusia 46 tahun di bahagian tangan menyebabkan isi tangan mangsa terkeluar.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata, dalam kejadian itu, suspek yang berusia 54 tahun, masuk ke dalam pusat hiburan berkenaan dengan memakai topi keledar sebelum menikam mangsa.

Pemilik premis yang ketika itu turut berada dalam premis cuba menahannya namun turut ditikam suspek di tangan sebelum dia melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan.

Hasil soal siasat ke atas seorang wanita yang merupakan bekas teman wanita suspek, lelaki itu dipercayai bertindak demikian akibat cemburu.

Che Zaimani berkata, suspek dan bekas teman wanitanya pernah tinggal bersama sejak enam tahun lalu dan mereka menjalankan perniagaan nasi ayam bersama.

Bagaimanapun suspek yang sudahpun berkahwin telah berpisah dengan teman wanitanya sejak sebulan lalu dan mereka juga sudah tinggal berasingan.

Suspek dipercayai bertindak menikam mangsa selepas cemburu apabila mangsa menjalinkan hubungan dengan bekas teman wanitanya.

Susulan daripada itu, polis berjaya menahan suspek jam 6 pagi ini di Pulau Tikus dan siasatan mendapati suspek mengaku menikam mangsa kerana lelaki terbabit keluar bersama bekas teman wanitanya.