SEGAMAT: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) perlu mempunyai akademi latihan sendiri bertaraf dunia bagi mewujudkan pegawai berkemahiran tinggi dalam teknologi pengurusan sempadan termasuk kecerdasan buatan (AI), kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata pembangunan kapasiti dalaman itu penting bagi memastikan AKPS bersedia menghadapi cabaran keselamatan sempadan yang semakin kompleks serta mempunyai keupayaan sendiri untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Akademi Latihan AKPS bertaraf dunia ini penting bagi melahirkan lebih ramai anak bangsa berbakat dan berkemahiran dalam teknologi pengurusan sempadan melalui kecerdasan buatan serta berkeupayaan masa depan, berintegriti dan berjiwa besar dalam mempertahankan kepentingan nasional,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Shamsul Azri berkata usaha membangunkan akademi latihan itu selari dengan hala tuju AKPS untuk beralih daripada pendekatan reaktif menjaga pintu masuk negara kepada kawalan sempadan pintar, bersepadu dan berasaskan risikan.
Beliau berkata AKPS yang kini berada pada fasa pertama sebagai Guardians of Checkpoint perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar mengawal keluar masuk di pintu sempadan sebaliknya beralih daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan proaktif.
“Inilah perubahan yang mesti kita laksanakan, daripada menjaga checkpoint kepada mengawal sempadan secara pintar, bersepadu dan berasaskan risikan sehingga menjadi peneraju keselamatan bagi keseluruhan ekosistem sempadan negara,” katanya.
Beliau berkata pembangunan sumber manusia AKPS perlu bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan modus operandi jenayah yang sentiasa berkembang.
Katanya latihan pegawai juga tidak seharusnya terhenti di pusat latihan, sebaliknya perlu diteruskan menerusi latihan sambil bertugas, pendedahan kepada situasi operasi sebenar serta bimbingan pegawai berpengalaman.
Shamsul Azri berkata AKPS turut mencatat perkembangan memberangsangkan dalam tempoh kira-kira 23 bulan sejak penubuhannya walaupun ketika ini beroperasi dengan kira-kira 30 peratus daripada jumlah perjawatan optimum sebanyak 13,721 anggota.
Beliau berkata nilai rampasan dan ketirisan yang berjaya diselamatkan AKPS tahun ini mencecah RM265 juta, kira-kira tiga kali ganda berbanding angka pada 2025.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kejayaan AKPS mengeksport semula sebanyak 436 kontena sisa elektronik ke luar negara menerusi kerjasama AKPS dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak berkuasa pelabuhan.
Dalam pada itu Shamsul Azri berkata sebanyak 408 pegawai perintis AKPS yang menamatkan kursus asas selama tiga bulan hari ini merupakan kumpulan latihan pertama yang akan memasuki perkhidmatan awam mengikut skim baharu AKPS yang berkuat kuasa pada 1 Julai lepas.
Mereka terdiri daripada 39 Penolong Penguasa Sempadan (Gred KS5) dan 369 Pembantu Penguasa Sempadan (Gred KS1) yang akan ditempatkan di pintu masuk RTS Link Johor Bahru-Singapura mulai 1 Oktober ini, sebagai persediaan menjelang pengoperasian penuh perkhidmatan berkenaan pada 1 Jan 2027.
-- BERNAMA