Pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober depan bagi menangani isu pencemaran air di Selangor.

Menurut Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Xavier Jayakumar, pindaan itu termasuk memberi kuasa kepada pihaknya menahan individu mahupun syarikat yang membuang sisa kimia di Loji Rawatan Air dan sungai.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan sumber bekalan air.

“Persetujuan telah dicapai supaya Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dipinda untuk memantapkan lagi aspek penguatkuasaan.

“Pindaan ini dijadualkan untuk dibentang pada sidang Dewan Rakyat bulan Oktober 2020,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Tambah Dr Xavier, bagi menangani isu itu, satu Jawatankuasa Tindakan dan Pemantauan Pencemaran Sumber Air turut ditubuhkan bagi menyelaras kerjasama antara agensi kerajaan, yang terlibat dalam penguatkuasaan serta pemantauan sumber air.

Antara kementerian dan agensi yang terlibat, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar daN Perubahan Iklim (MESTECC), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas berkenaan insiden pencemaran melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, LRA Bukit Tampoi dan Sungai Selangor pada tahun lalu sehingga menjejaskan 2.7 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur, Lembah Klang dan Putrajaya.

Dr Xavier berkata, pihaknya berjaya menemui bahan pelarut (Solvent) dan minyak diesel dipercayai dibuang oleh pihak tindak bertanggungjawab.

"Siasatan mendapati terdapat unsur-unsur sabotaj oleh pihak tidak bertanggungjawab yang secara sengaja melepaskan sisa haram ke lurang kumbangan serta minyak diesel ke sungai utama di Selangor.

"Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli amat memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja menjejaskan kebajikan rakyat, malah memudaratkan ekonomi negara," katanya dalam sidang media itu.