Akta Kebebasan Maklumat akan digubal untuk menggantikan Akta Rahsia Rasmi 1972, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang bermesyuarat hari ini bersetuju secara prinsip bahawa tempoh masa yang mencukupi harus diberikan kepada proses penggubalan undang-undang itu.

"Ini dengan memfokus kepada sesi libat urus dan 'outreach' yang mencukupi dengan masyarakat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu, di sini hari ini.

Turut serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat turut membincangkan cadangan skop Akta Perolehan Kerajaan yang akan digubal oleh Kementerian Kewangan.

"Rang Undang-Undang ini dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun 2020," kata perdana menteri.

Lim dalam ucapan Belanjawan 2019 telah mengumumkan Akta Perolehan Kerajaan akan dibentang di Parlimen bagi memperkukuh ketelusan dalam proses perolehan kerajaan, sekali gus mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.

Dr Mahathir berkata mesyuarat turut membincangkan lima syor dikemukakan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mengukuhkan amalan tadbir urus korporat dalam pasaran modal untuk mencegah salah laku rasuah dan penipuan.

"Mesyuarat secara prinsip telah bersetuju dengan beberapa syor yang dikemukakan oleh SC akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Hutang Negara," katanya.

Perdana Menteri berkata JKKMAR turut dimaklumkan mengenai hasil Mesyuarat Jawatankuasa Anti-Rasuah Kebangsaan bahawa terdapat keperluan untuk mempertingkatkan program kesedaran dan latihan antirasuah kepada penjawat awam.

Katanya ini termasuk mewujudkan semula Modul Pengurusan Integriti (MPI) dan pemerkasaan Unit Integriti di agensi awam.

-- BERNAMA