Akta Pencegahan Jenayah, POCA, Pindaan dan Pemerluasan 2013, khusus untuk membanteras jenayah terancang dan berat akan dikuatkuasakan Rabu ini.

Ia memastikan usaha pencegahan dapat dilakukan segera selain bukti kerajaan komited membanteras aktiviti jenayah.

Timbalan menteri dalam negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, akta itu antara lain memberi kuasa kepada Lembaga Pencegahan Jenayah mengeluarkan arahan menahan penjenayah selama dua tahun.

Jelas Dr Wan Junaidi, pelaksanaan akta itu dapat memerangi dan mencegah jenayah dengan lebih berkesan.

Ia turut membenarkan penahanan tanpa perbicaraan atas kepentingan ketenteraman dan keselamatan awam atau pencegahan jenayah.

Dr Wan Junaidi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing, BN Bintulu yang ingin tahu bila POCA akan dilaksanakan pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan asal Datuk Hasbullah Osman, BN Gerik yang ingin mengetahui bagaimana pelantikan anggota ke dalam lembaga pencegahan jenayah dibuat, Wan Junaidi berkata pelantikan dibuat sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.

Ujarnya, Kementerian Dalam Negeri dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak terlibat dalam proses pelantikan itu.