GEORGE TOWN: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dengan hukuman lebih berat dalam usaha membanteras isu lumba haram serta aktiviti mat rempit di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak berkata, cadangan pindaan hukuman membabitkan individu terlibat lumba haram dan pihak lain yang menyokong kegiatan berkenaan.

Antara cadangan hukuman ialah menaikkan kadar saman minimum, penjara terhadap mat rempit yang menyebabkan kematian kepada pengguna jalan raya lain.

Turut akan dikenakan tindakan pemilik bengkel yang terbabit dalam ubah suai motosikal bagi kegunaan lumba haram.

Isham berkata, usul berkenaan akan dibentang pada sidang Parlimen sesi tahun hadapan.

Menurut beliau, sebelum ini pihak MOT sudah membuat pindaan akta bagi menangani isu pemandu mabuk serta dilihat berjaya mengurangkan kes itu.

Mengulas lanjut, Isham berkata, satu Task force yang membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan badan bukan kerajaan (NGO) akan ditubuhkan bagi mengekang aktiviti lumba haram.

Jelas beliau, modul pelaksanaan pelan jangka pendek itu akan dilakukan di Pulau Pinang sebelum dijadikan modul oleh negeri lain.

“Modul ini kita akan bawa kepada negeri lain dan buat secara nasional dan menyeluruh bagi memastikan usaha yang kita buat itu akan lebih efektif, kesan besar bukan sahaja kepada masyarakat tetapi kita dapat merubah budaya jijik ini harap tidak lagi menjadi satu budaya yang dibanggakan,” kata Isham lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di George Town pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim; Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain serta Pengarah JPJ Negeri, Adenan Mat Isa.

Pada 17 Julai lepas, lima penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, disyaki terlibat dalam lumba haram.

Tujuh mangsa dilaporkan terlibat dalam kemalangan awal pagi itu dan lima daripadanya disahkan meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram.

Beberapa penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.