Skip to main content

Malaysia

Akta Tahanan Rumah disasar kurangkan kesesakan penjara - Saifuddin Nasution

PASIR PUTEH, 3 Sept - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas Penyerahan Projek Siap Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tok Bali hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menurut Saifuddin, cadangan memperkenalkan Akta Tahanan Rumah adalah bertujuan menguruskan isu kesesakan penjara khususnya melibatkan tahanan reman dan bukannya untuk pesalah yang telah disabitkan kesalahan. - Gambar fail/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Cadangan memperkenalkan Akta Tahanan Rumah adalah bertujuan menguruskan isu kesesakan penjara khususnya melibatkan tahanan reman dan bukannya untuk pesalah yang telah disabitkan kesalahan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, cadangan itu telah dibawa sejak 2024 sebagai antara inisiatif bagi menangani jumlah tahanan reman yang tinggi di institusi penjara seluruh negara.

"Cadangan mewujudkan Akta Tahanan Rumah bukan perkara baharu.

"Sejak 2024, saya telah membawa cadangan ini sebagai antara ikhtiar KDN untuk menangani isu kesesakan penjara, khususnya melibatkan tahanan reman yang masih menunggu proses perbicaraan," kata beliau dalam hantaran di media sosial pada Ahad.

Beliau berkata, ketika ini 41 penjara di seluruh negara menempatkan kira-kira 93,000 penghuni berbanding kapasiti sebenar sekitar 75,000 orang.

Katanya, angka tersebut menunjukkan keperluan mewujudkan pendekatan baharu yang lebih praktikal, selamat dan terkawal bagi mengurangkan tekanan terhadap sistem penjara negara.

Saifuddin menjelaskan, konsep yang dibincangkan sejak awal ialah membolehkan tahanan reman yang memenuhi syarat tertentu ditempatkan di rumah sementara menunggu perbicaraan.

Jelasnya, mereka akan dipantau menggunakan peranti elektronik dan tertakluk kepada kelulusan mahkamah.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, kes-kes jenayah berat telah dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pelaksanaan mekanisme tersebut.

"Kabinet juga telah memberikan persetujuan secara dasar kepada KDN untuk memulakan proses penggubalan undang-undang ini.

"Matlamat asalnya kekal: mengurangkan kesesakan penjara dan memastikan sistem koreksional negara dapat diurus dengan lebih berkesan," tambah Saifuddin lagi.

Must Watch Video

Advertisement