GAZA: Agensi berita antarabangsa, Al Jazeera menuntut agar wartawannya, Ismail Alghoul, yang ditahan ketika menjalankan tugas di Hospital al-Shifa, di Gaza, dibebaskan segera.

Ismail ditangkap pada pagi Isnin bersama beberapa wartawan lain ketika membuat liputan serangan tentera Israel ke atas hospital itu.

Menurut saksi, Ismail dipukul teruk dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui.

Agensi tersebut menyifatkan penahanan itu sebagai taktik intimidasi terhadap wartawan bagi menghalang mereka daripada melaporkan jenayah yang dilakukan Israel terhadap orang awam di Gaza.

Penahanan itu juga merupakan yang terbaharu dibuat terhadap kakitangan Al Jazeera, selepas pembunuhan Shireen Abu Akleh, Samer Abu Daqqa, dan Hamza Al-Dahdouh, serta pengeboman pejabat mereka di Gaza, selain ugutan terhadap beberapa wartawan dan ahli keluarga mereka.