BATU PAHAT: "Alhamdulillah, separuh rangka arwah Bella ditemukan tapi kami masih tunggu keputusan forensik.

"Sejumlah 90 peratus rangka boleh dikatakan milik Bella, mohon doakan supaya anggota lain dijumpai," kata kakak kepada arwah Bella, Norhisham Samsusah, 36.

Norhisham atau lebih dikenali sebagai Ayu turut memuat naik berita penemuan rangka dipercayai milik arwah Mila Sharmilah Samsusah di Facebook miliknya.

Menurut Norhisham, berita penemuan berhampiran rumah terbengkalai di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7 di Jalan Tongkang Pechah telah dimaklumkan oleh pihak polis, pada Selasa.

Bagaimanapun, pihaknya masih perlu menunggu keputusan pihak forensik untuk mengesahkannya sama ada milik arwah adiknya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, penemuan rangka itu selepas menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 11.30 pagi pada 28 Februari lalu.

Jelasnya, hasil pemeriksaan telah menjumpai dua ketul tulang dipercayai tulang bahagian peha, dua ketul tulang bahagian betis dan dua ketul tulang bahagian keting di lokasi tersebut.

"Semua tulang yang dijumpai telah dihantar ke Jabatan Kimia Johor pada 29 Februari untuk dianalisis perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA).

"Pihak polis masih menunggu keputusan laporan analisis dari Jabatan Kimia Johor dan dijangka proses analisis kimia mengambil tempoh lebih kurang sebulan," katanya.

Pada 26 Januari lalu iaitu dua hari selepas pengebumian Bella, kakaknya mendedahkan mereka sekeluarga menitiskan air mata apabila mendapati jasad adik tersayangnya tanpa kedua-dua tangan dan kaki.

Kejadian itu disedari ketika Norhisham dan ibunya, Noraini Salleh, 55, memandikan rangka tidak sempurna itu di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan milik Bella.

Norisham memberitahu, tengkorak adiknya pecah disyaki dihentak objek tumpul, selain hanya tinggal sebahagian anggota hingga paras pinggul.

Susulan itu, keluarga arwah Bella memaklumkan mereka sudah membuat surat permohonan kepada polis untuk mencari sebahagian rangka yang belum ditemui itu.

Pada 19 Januari lalu, penemuan rangka manusia tidak sempurna di dalam sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah di sini, merungkai misteri kehilangan Bella sejak 14 Disember tahun lalu.

Ibu tunggal kepada dua anak, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, itu dilaporkan hilang selepas keluar bersama teman lelakinya.

Selepas 36 hari kehilangannya, rangka mangsa ditemui susulan penahanan teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, sejurus lelaki itu tiba di tanah air selepas menunaikan umrah.

Lelaki itu yang juga bekas posmen kemudiannya didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 24 Januari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian