PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek menyifatkan bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke-13, Tan Sri Dr Ali Hamsa sebagai seorang mentor dan pendengar yang baik.

Ali, 66, yang berkhidmat sebagai KSN selama enam tahun dari 2012, meninggal dunia di Hospital Dublin, Ireland pada Khamis.

"Saya mengenali arwah agak lama, banyak pengalaman saya bersama beliau iaitu sejak saya memasuki kursus kadet pegawai tadbir diplomatik, beliau adalah fasilitator saya. Ia adalah kehilangan besar kepada negara," katanya yang mewakili warga K-KOMM mengucapkan takziah kepada keluarga Ali.

"Semoga dipermudahkan segala urusan dan tabah menghadapi cabaran ini, sama-sama kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang beriman," kata Mohammad selepas merasmikan Program 'Jom Baca Bersama 10 Minit' peringkat kementerian di sini hari ini.

Mengimbau pengalaman bekerja dengan Ali, Mohammad berkata, beliau terharu apabila diberi kepercayaan menerajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sebagai ketua pengarah sebelum ini.

"Tan Sri (Ali) adalah seorang yang senang didekati, beliau pendengar yang baik. Beliau juga amat berjasa kepada penjawat awam dari segi urusan kebajikan, kenaikan pangkat dan juga aspek perumahan," kata Mohammad.

Program 'Jom Baca Bersama 10 Minit' adalah inisiatif K-KOMM bersama agensi di bawah naungan antaranya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaras dengan hasrat melahirkan bangsa yang membaca.

Mohammad berkata, dengan adanya masyarakat berbudaya membaca, negara akan mempunyai rakyat berminda aktif, kreatif dan berinovasi selain mampu melahirkan warganegara yang mampu melihat sesuatu daripada pelbagai perspektif.

Pada program sama, beberapa sekolah rendah dan sekolah menengah sekitar Putrajaya menerima sumbangan buku dan Free Little Library yang akan ditempatkan di lobi K-KOMM, iaitu almari kecil khas mengandungi buku bacaan turut dilancarkan. - BERNAMA