GUA MUSANG: Aliran trafik memasuki sempadan Kelantan terkawal walaupun berlaku sedikit peningkatan kenderaan menjelang satu Ramadan.

Pemeriksaan ke atas kenderaan pengguna jalan yang melalui jalan Kuala Lipis Pahang ke Gua Musang itu mempunyai surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di tempat masing-masing.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihak polis tidak akan bertolak-ansur sekiranya didapati pemandu atau penumpang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi menghalang penularan wabak COVID-19.

"Dalam sekatan jalan raya ini kita dapati menjelang Ramadan, kenderaan yang melalui Gua Musang ada sedikit peningkatan dan keadaan jalan raya terkawal. Rata-rata rakyat Kelantan dari luar balik ke Kelantan menggunakan permit destinasi asal ke Kelantan," jelasnya.

Terdapat dua sekatan jalan raya (SJR) untuk masuk ke Kelantan melalui Gua Musang iaitu SJR di Kampung Tanah Putih dan Kampung Kundur.

Selain anggota polis, SJR itu turut menempatkan anggota tentera dan anggota Rela.