Skip to main content

Malaysia

Amaran awal Bank Negara diabai, Tabung Haji tanggung kerugian besar - PM

SEREMBAN, 29 Julai -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Temu Anwar Negeri Sembilan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA   SEREMBAN, July 29 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim delivers a speech at the Temu Anwar Negeri Sembilan programme held at the Paroi Islamic Dakwah Centre, today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan amaran awal yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kedudukan Tabung Haji antara 2014 hingga 2017 tidak diendahkan, sekali gus mengakibatkan institusi itu menanggung kerugian besar. - Foto BERNAMA
Advertisement

SEREMBAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan amaran awal yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung kedudukan Tabung Haji antara 2014 hingga 2017 tidak diendahkan, sekali gus mengakibatkan institusi itu menanggung kerugian besar.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu akan dihuraikan dengan lebih terperinci dalam laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji yang diputuskan Jemaah Menteri untuk didedahkan kepada umum.

“Ternyata amaran awal telah diberikan pada tahun 2014-2017, tidak diendahkan, dan itu menyebabkan kerugian besar.

“Tetapi yang penting, keputusan Jemaah Menteri ialah membuka secara telus siasatan ke akar umbi, bukan sahaja untuk tempoh 2014-2017, tetapi juga selepas itu.

“Ada yang tanya apa jadi ketika tahun 2018, 2019, 2020, serta langkah-langkah pemulihan yang dilakukan oleh Tabung Haji dan pengurusan Tabung Haji sekarang di bawah pimpinan Tan Sri Rashid Hussein.

“Jadi ini semua biar rakyat nilai. Bagi saya bukan nak membongkar kisah lama, tetapi sebagai pengajaran, jangan diulang lagi kerja merosakkan dan mengkhianati amanah rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Temu Anwar di Dewan Pusat Dakwah Islamiah, di sini, pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Anwar memaklumkan kerajaan turut bersetuju mengadakan sidang khas Parlimen bagi membentangkan laporan RCI Tabung Haji.

“Cuma tarikh kita kena dapatkan persetujuan Speaker Dewan Rakyat.

“Saya dah cadangkan secepat mungkin, supaya ada masa sekarang untuk ahli-ahli Dewan Rakyat meneliti dan juga mendengar penjelasan lanjut, kemudian membahas secara terbuka sepanjang hari,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan mencadangkan supaya tempoh semakan dalam laporan RCI berhubung Tabung Haji diperluaskan bagi merangkumi tempoh selepas pengurusan dan kepengerusian baharu institusi itu mengambil alih.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, langkah itu bertujuan membolehkan usaha pemulihan yang dilaksanakan selepas tempoh siasatan turut dinilai secara menyeluruh, dan bukan hanya tertumpu kepada dapatan sehingga tahun 2022.

Must Watch Video

Advertisement