Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon menyuarakan keyakinan dan sokongannya terhadap inisiatif anak muda yang menerajui usaha menganjurkan Parlimen Digital hujung minggu lalu.

Beliau yakin anak muda di negara ini mampu mentadbir negara dengan baik dan ia ditonjolkan pada sesi sidang Parlimen Digital selama dua hari tersebut yang menunjukkan kepetahan hujah, ketegasan dalam berbicara dan keseriusan dalam melontarkan idea.

Katanya, inisiatif itu menunjukkan anak muda cakna dalam isu-isu semasa dan mampu berhujah dengan kemas dan tertib dalam suasana digital yang canggih.

"Selaku Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, saya menyokong penuh sekiranya Parlimen Digital ini diperluaskan pula di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan program-program makro berkaitan boleh dilaksanakan.

"Sekali lagi, saya ingin mengucapkan syabas kepada pihak penganjur Parlimen Digital yang membuktikan bahawa Malaysia mampu melakukan apa sahaja dengan baik dan merubah landskap ke arah pendigitalan parlimen gaya baharu selari dengan perkembangan teknologi.

"Saya juga berharap agar usaha murni ini terus diangkat sebagai medan yang lebih mantap dalam membawa lebih ramai suara anak muda di peringkat nasional," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: Parlimen Digital himpunkan tenaga belia bincang polisi, undang-undang negara

Malah Rashid dalam kenyataan sama turut mencadangkan agar kerajaan mengambil serius tentang cadangan-cadangan dan usul-usul yang dikemukakan Parlimen Digital untuk dipertimbangkan sebagai dasar kerajaan.

Parlimen Digital membahaskan dua usul untuk negara bangkit semula pada pasca COVID-19; pembangunan semula ekonomi melalui pakej ransangan ekonomi khas untuk belia dan penstrukturan sistem pendidikan pasca COVID-19.

BACA: Gadis berusia 15 tahun dari Bintulu ini tekad ubah landskap politik

BACA: Pendidikan perlu inklusif dan sama rata, gesa perwakilan Parlimen Digital


Mereka juga membincangkan penyelesaian untuk masyarakat terpinggir yang terkesan oleh wabak itu.

Parlimen Digital dianjurkan oleh tiga NGO belia non-partisan - Undi18, Challenger Malaysia dan Liga Demokratik Malaysia dengan tujuan memperkasakan belia dan membuktikan bahawa prosiding parlimen dapat dijalankan secara dalam talian.

Diadakan pada hujung minggu lalu secara dalam talian dengan 222 peserta berusia antara 15 hingga 35 tahun membahaskan pakej perangsang ekonomi untuk belia dalam menghadapi COVID-19.