KUALA LUMPUR: Pengagihan vaksin COVID-19 yang masih perlahan ketika ini boleh dipercepatkan jika rakyat Malaysia melihat mendapatkan vaksin sebagai satu tanggungjawab terhadap negara.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, fasa kedua pengagihan vaksin yang membabitkan golongan rentan sangat penting dan memerlukan kerjasama baik dari semua pihak.

"Seluruh rakyat Malaysia perlu menganggap pendaftaran dan mengambil suntikan vaksin sebagai tanggungjawab nasional. Perlu ada kesedaran tinggi bahawa tidak ada yang selamat selagi semua belum selamat.

"Kerajaan juga perlu lebih agresif mempromosikan kelebihan vaksin, dengan cara membandingkan kebaikan vaksin dan keburukan apabila tidak mengambilnya.

"Begitu juga, kerajaan dan pihak berkuasa perlu bertindak pantas dan tegas dalam menangani sebarang isu yang tular dan tidak benar di laman sosial. Respons yang cepat daripada pihak berkuasa sangat penting dalam menangkis semua berita palsu," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI.

Lee juga mengingatkan tanggungjawab besar wakil rakyat di semua kawasan untuk menggerakkan penduduk agar mendaftar dan mengambil vaksin.

"Wakil rakyat boleh ambil peluang dan tanggungjawab ini untuk mendekati pengundi anda. Yakinkan mereka untuk ambil vaksin dan bagaimana ia mampu mengubah situasi ketika ini," tegasnya.

Fasa kedua pengagihan vaksin yang bermula minggu lalu, menyasarkan 9.4 juta individu dalam kalangan warga emas dan golongan rentan.

Secara keseluruhannya, setakat Sabtu, pengagihan vaksin kini mencecah 1.29 juta.