KUALA LUMPUR: Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 kembali untuk edisi kedua dengan skala lebih besar menerusi Festival Budaya Malaysia 2026 yang akan berlangsung dari 11 hingga 16 September ini di Taman Tasik Titiwangsa, bersempena sambutan Hari Malaysia.
Bertemakan 'Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa', festival anjuran Raydiates Blue Sdn Bhd (Raydiates) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu mengekalkan makanan sebagai tunjang utama, namun diperluaskan kepada pengalaman gaya hidup moden yang lebih interaktif.
Pengarah Urusan Raydiates, Rayme Zainal berkata, AMFF 2026 menghimpunkan lebih 80 vendor yang menawarkan pelbagai aktiviti berteraskan gastronomi, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan serta program komuniti dalam satu platform yang meraikan kepelbagaian Malaysia.
Menurutnya, festival berkenaan bertujuan menghidupkan budaya melalui pengalaman yang lebih dekat dengan masyarakat, bukan sekadar dipamerkan kepada pengunjung.
"Tahun ini kami mahu membawa pengalaman itu lebih jauh di mana makanan, seni, muzik, gaya hidup dan komuniti menjadi satu identiti bersama dengan semangat 'Kita Malaysia' sempena Festival Budaya Malaysia dan Hari Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
AMFF 2026 akan menampilkan lima segmen utama iaitu Taste Malaysia, Move Malaysia, Style Malaysia, Play Malaysia dan Celebrate Malaysia, sekali gus membolehkan pengunjung menjadi sebahagian daripada pengalaman festival.
Sepanjang enam hari penganjuran, pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk Foodie Fiesta, demonstrasi masakan, Cultural Jam, persembahan tradisional dan kontemporari, program kecergasan, aktiviti keluarga serta pelbagai aktivasi jenama dan gaya hidup.
Festival itu turut mendapat kerjasama beberapa rakan strategik termasuk SimplySiti, Anytime Fitness dan SimplyFit Zumba Malaysia Day yang akan memperkukuhkan elemen kecantikan, kesihatan dan kecergasan.
Antara tarikan utama ialah penganjuran Malam Kita Malaysia pada 15 September yang menampilkan mini konsert khas bersempena Ambang Hari Malaysia, menggabungkan elemen muzik, seni dan budaya dalam satu persembahan.
Sambutan Hari Malaysia pada 16 September pula akan diteruskan menerusi program SimplyFit Zumba Malaysia Day bersama pelbagai aktiviti kecergasan, keluarga dan komuniti.
Dalam perkembangan sama, Rayme berkata, AMFF 2026 akan diteruskan ke MAEPS, Serdang menerusi siri kedua festival berkenaan dari 9 hingga 11 Oktober sempena MySihat Expo 2026.
Katanya, edisi di MAEPS akan memberi tumpuan kepada gabungan gastronomi, kesihatan, kesejahteraan, kecergasan, gaya hidup dan hiburan melalui kerjasama dengan beberapa rakan strategik termasuk Moonman Event bagi HUNTR Games Kuala Lumpur 2026 serta Event Lab di bawah Malaysia Strategic Development Institute (MSDI) menerusi FRAGMANIA.
Beliau berkata, kerjasama itu dijangka mewujudkan ekosistem yang menghimpunkan kira-kira 600 vendor merangkumi sektor makanan, kesihatan dan kesejahteraan, sukan, kecergasan, hiburan serta komuniti dalam satu destinasi.
"Makanan tetap menjadi nadi AMFF, tetapi kali ini ia bertemu dengan kesihatan, kecergasan, kesejahteraan mental, muzik dan komuniti," katanya.