PORT DICKSON: Seorang lelaki maut dipercayai dipukul oleh anak lelakinya dalam kejadian di rumah mereka di Taman D’Ambang Kota, Lukut di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 46 tahun dikatakan mabuk dan membuat bising sambil mengeluarkan kata-kesat sebelum berlaku pergaduhan antara dua beranak itu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek yang berusia 26 tahun kemudian ditahan di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan, polis mendapati sebelum kejadian mangsa mabuk dan telah bergaduh serta dipukul oleh anak lelakinya.

“Punca kejadian kerana suspek tidak berpuas hati bapanya mengeluarkan perkataan kesat dan membuat bising,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, suspek telah ditahan pada pukul 1.20 pagi tadi sebelum direman selama lima hari oleh Mahkamah Seremban hari ini.

Katanya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Sekayen 302 Kanun Keseksaan.