ALOR SETAR: Anak ketiga kepada anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, yang meninggal dunia Sabtu lepas, kerap mencari ibunya sejak semalam.

Adik Allahyarham, Hafyzoh, 21, berkata anak saudaranya itu Nurul Jannah Nor Azmi, 7, yang juga anak istimewa (sindrom Down) sering bertanyakan mengenai ibunya dan masih belum memahami bahawa ibunya sudah tiada.

"Kakak (Nurul Jannah) sering mencari ibunya tetapi adiknya, Ainul Mardiah, 4, tahu bahawa ibu mereka telah meninggal dunia dan sudah tiada," katanya ketika ditemui di Masjid Al Anwar, Kampung Tengah, Tualang, Pokok Sena, di sini hari ini.

Hafyzoh berkata buat sementara waktu dia akan membantu abang iparnya untuk menjaga anak-anak saudaranya terutamanya Nurul Jannah dan Ainul Mardiah.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Faridah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar, Kampung Tengah dengan penuh istiadat ketenteraan pada 10.20 pagi.

Faridah, 39, meninggalkan suami Nor Azmi Ariffin, 39, dan empat anak iaitu Nurul Syifa, 13, Muhammad Afnan, 10, Nurul Jannah, 7, dan Ainul Mardiah, 4.

-- BERNAMA