Skip to main content

Malaysia

Anak Melaka diseru jadi rakan strategik bangunkan negeri - Ab Rauf

71750993191_AbRaufYusoh.jpg
Ab Rauf menyeru anak kelahiran Melaka yang berjaya dalam pelbagai bidang agar menjadi rakan strategik kerajaan negeri dengan berkongsi pengalaman, kepakaran dan jaringan masing-masing demi membuka lebih banyak peluang kepada generasi baharu. - Foto fail
Advertisement

MELAKA: Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyeru anak kelahiran Melaka yang berjaya dalam pelbagai bidang agar menjadi rakan strategik kerajaan negeri dengan berkongsi pengalaman, kepakaran dan jaringan masing-masing demi membuka lebih banyak peluang kepada generasi baharu.

Beliau berkata menerusi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa), kerajaan negeri tidak mahu kejayaan anak-anak Melaka hanya kekal sebagai catatan peribadi, sebaliknya perlu didokumentasikan dan dijadikan inspirasi kepada lebih ramai rakyat di negeri itu.

“Kami berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat menjadi rakan strategik kepada kerajaan negeri. Gunakanlah pengalaman, kepakaran dan jaringan yang telah dibina untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada anak-anak negeri ini kerana inilah legasi yang kita mahu lahirkan menerusi Anugerah Seri Melaka. 

“Kami mahu kejayaan yang diraih oleh seorang anak Melaka membuka jalan kepada kejayaan anak Melaka yang lain, sekali gus kembali menjadi kekuatan kepada negeri dan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Gala Anugerah Seri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini Ahad malam.

Ab Rauf berkata sebanyak empat kategori dipertandingkan bagi Anugerah Seri Melaka, iaitu Perkhidmatan Awam, Korporat, Sukan serta Seni dan Budaya dengan lebih 200 pencalonan diterima.

Beliau berkata setiap pencalonan mencerminkan perjalanan hidup yang dibina melalui kerja keras, pengorbanan dan ketabahan setiap calon, sekali gus membuktikan Melaka mampu melahirkan individu berjiwa besar yang mengharumkan nama negeri.

Pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd Datuk Azmar Talib merangkul anugerah berprestij Anugerah Seri Melaka (ASM) serta kategori Korporat.

Selain itu, pemain badminton kebangsaan Aaron Chia bagi kategori Sukan, pengarah seni persembahan Lokman Abd Ghani (Seni dan Budaya) serta Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zamri Misman (Perkhidmatan Awam).

Anugerah Seri Melaka kategori Khas pula diberikan kepada penyelidik sains perubatan antarabangsa Dr Saiful Anuar Singar.

Penerima Anugerah Seri Melaka membawa pulang wang tunai RM20,000 serta trofi manakala bagi setiap kategori pula wang tunai RM10,000 serta trofi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement