Ringkasan AI
- Kerajaan MADANI menegaskan tidak akan campur tangan dalam pengurusan profesional PNB bagi mengelak ketirisan dana awam seperti kes 1MDB, Tabung Haji dan FELDA.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan kebebasan institusi pelaburan dan perbankan daripada pengaruh politik demi menjaga integriti dan amanah rakyat.
- PNB melalui ASNB berjaya mengekalkan pengagihan pendapatan ASB sebanyak 5.75 sen seunit melibatkan pembayaran RM10.4 bilion kepada 11 juta pemegang unit.
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI mengambil pendirian tegas untuk tidak mencampuri urusan pengurusan profesional Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi memastikan episod ketirisan dana awam dan institusi bumiputera seperti yang pernah berlaku membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) tidak berulang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kebebasan institusi pelaburan dan perbankan daripada campur tangan politik merupakan tunjang utama pentadbirannya bagi memastikan amanah rakyat terus terpelihara serta diuruskan secara berintegriti.
"Kita tak campur urusan mereka, ini kekuatan Kerajaan MADANI. Biar pengurusnya uruskan, biar banknya diuruskan oleh mereka, jangan kita campur.
“Bila orang politik campur, lebih banyak kerosakan akan berlaku sepertimana yang pernah berlaku sebelumnya,” katanya dalam ucapan perasmian Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2026 di Stadium Merdeka di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata budaya menabung dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda tidak akan membawa sebarang makna sekiranya dana yang terkumpul akhirnya dikhianati pengurusan tidak bertanggungjawab.
“Buat apa kita menabung kalau yang menguruskan itu khianat? Apa ertinya Minggu Saham kalau saham itu, kemudian kumpulan wang itu diamanahkan kepada orang tidak bertanggungjawab?” katanya.
Menurut Anwar akibat ketirisan terdahulu, Kementerian Kewangan masih terpaksa menanggung beban RM980 juta setiap tahun bagi melunaskan hutang FELDA akibat salah urus pihak terdahulu, selain kerugian puluhan bilion ringgit melibatkan 1MDB serta RM10 bilion dalam isu Tabung Haji.
Mengenai pemilihan lokasi keramat Stadium Merdeka sebagai pentas MSAM 2026, Anwar berkata ia membawa simbolik besar dalam memaknai erti kemerdekaan sebenar, iaitu mengangkat maruah rakyat melalui tatakelola yang jujur dan bebas daripada budaya merompak kekayaan negara.
Dalam perkembangan sama, Anwar merakamkan penghargaan atas prestasi memberangsangkan PNB menerusi anak syarikat pengurusannya, Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) yang berjaya mengekalkan pengagihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 sen seunit membabitkan pembayaran RM10.4 bilion kepada 11 juta pemegang unit, selain agihan lima sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) kepada lebih 740,000 pemegang unit.
“PNB tertera (sebagai) antara syarikat mulia, matang dan berwibawa,” katanya.
MSAM merupakan acara literasi kewangan tahunan perdana anjuran PNB sejak 2000 yang menghimpunkan pameran pendidikan pelaburan, aktiviti keusahawanan serta pelbagai program interaktif bagi memperkasakan celik kewangan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat.
-- BERNAMA