Ringkasan AI
- Jemaah Menteri bersetuju memperketat dan memperluas kawalan keselamatan ke pangkalan udara TUDM susulan penyeludupan dadah menggunakan aset ketenteraan.
- Kementerian Pertahanan bertanggungjawab melaksanakan kawalan keselamatan di pangkalan TUDM, dengan penyelarasan bersama Kementerian Dalam Negeri.
- Setakat ini, 18 individu termasuk pegawai TUDM dan orang awam ditahan berkaitan penyeludupan tiga tan dadah melalui dua pangkalan TUDM.
BALING: Jemaah Menteri bersetuju supaya kawalan keselamatan diperketat dan diperluas ke pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) susulan kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan menggunakan aset ketenteraan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebelum ini kawalan keselamatan di pintu masuk negara meliputi laluan darat, laut dan udara, namun tidak merangkumi pangkalan udara TUDM.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas beliau membentangkan hasil siasatan berhubung kegiatan berkenaan kepada Jemaah Menteri semalam.
“… tapi dengan insiden ini, Jemaah Menteri bersetuju dengan syor yang dibentangkan Kementerian Dalam Negeri, yang saya bentangkan semalam supaya perkara itu dilaksanakan segera,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Wira MADANI dan Santuni MADANI Jabatan Imigresen Malaysia 2026 di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata pelaksanaan kawalan keselamatan di lokasi strategik pertahanan itu berbeza daripada prosedur kawalan di pintu masuk negara yang lain seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau berkata hal itu kerana pangkalan tentera membabitkan aset ketenteraan dan lokasi strategik pertahanan yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) tentera serta dikawal oleh anggota tentera sendiri.
Menurut Saifuddin Nasution, tanggungjawab utama pelaksanaan kawalan berkenaan diletakkan di bawah Kementerian Pertahanan dan diselaraskan bersama Kementerian Dalam Negeri.
Pada Khamis lepas, dalam sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Saifuddin Nasution dilaporkan berkata tiga tan dadah disyaki methamphetamine (syabu) bernilai RM156 juta dikenal pasti diseludup keluar melalui dua pangkalan TUDM di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.
Beliau berkata kegiatan itu dikesan menerusi risikan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan dadah melalui kedua-dua pangkalan berkenaan.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman memaklumkan seorang lagi pegawai TUDM dan empat orang awam ditahan pada 26 Nov bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sindiket berkenaan.
Penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan berhubung kes itu setakat ini sebanyak 18 orang.
-- BERNAMA