Ringkasan AI
- Purata penggunaan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencecah 240 liter per kapita sehari, melebihi sasaran nasional 180 liter menjelang 2030.
- Kerajaan negeri memperkukuh pengurusan bekalan air melalui penggantian paip lama dan kerjasama teknologi dengan Amazon Web Services untuk mengesan kebocoran paip.
- Karnival Wira Air 2026 menghimpunkan 1,500 pelajar bagi meningkatkan kesedaran penjimatan dan pemuliharaan air melalui aktiviti pendidikan serta interaktif.
KUALA SELANGOR: Purata penggunaan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencecah 240 liter per kapita sehari (LCD) pada 2025, melebihi sasaran nasional sebanyak 180 LCD menjelang 2030.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, angka itu menunjukkan masih banyak ruang untuk penambahbaikan dalam amalan penggunaan air secara berhemah dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, keterjaminan bekalan air bukan hanya menjadi tanggungjawab penyedia perkhidmatan, sebaliknya memerlukan komitmen kerajaan, industri, institusi pendidikan, komuniti dan setiap individu.
“Angka ini menunjukkan bahawa masih banyak ruang untuk kita memperbaiki cara penggunaan air. Kerajaan Negeri menyeru seluruh rakyat supaya mengamalkan penjimatan air secara konsisten,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas melancarkan Karnival Wira Air Selangor 2026 di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya, Kuala Selangor, pada Sabtu.
Amirudin berkata, golongan pelajar turut memainkan peranan penting sebagai agen perubahan dengan membawa mesej penjimatan air dari sekolah ke rumah dan komuniti.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri turut memperkukuh pengurusan infrastruktur bekalan air menerusi penggantian paip lama yang menunjukkan hasil positif apabila insiden paip pecah semakin berkurangan.
“Jumlahnya sudah semakin kurang. Dulu setiap sekian kilometer akan berlaku pecah, jumlahnya sudah semakin panjang. Ini bermakna penggantian paip yang kita lakukan itu telah memberikan hasil,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Beliau turut memaklumkan kerjasama strategik dengan Amazon Web Services (AWS) merangkumi penggunaan teknologi sensor bagi membantu mengesan kebocoran paip dengan lebih pantas.
Sementara itu, Karnival Wira Air 2026 anjuran Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghimpunkan kira-kira 1,500 pelajar daripada sekolah-sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor.
Penganjuran julung kali itu bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan penjimatan, pemuliharaan dan penggunaan air secara berhemah menerusi pelbagai aktiviti pendidikan serta interaktif.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Adam Saffian Ghazali.