Tidak ramai anak muda atau belia yang hadir pada himpunan 14 Oktober lalu disebabkan mereka bosan, keliru dan penat melihat telatah pakatan pembangkang di negara ini, kata Datuk Rizal Mansor yang juga Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor.

Hujah Rizal, anak muda atau belia keliru dengan politik yang dimainkan pembangkang yang bergaduh sesama sendiri sepanjang masa.

"Mereka keliru kerana Tun Dr Mahathir, yang dahulunya dimaki dicerca dan digelar dengan segala macam benda sama seperti yang mereka lakukan kepada PM Datuk Seri Najib sekarang, telah disambut dan dirai bagai seorang hero oleh pimpinan pakatan pembangkang.

"Contohnya, Wan Azizah duduk sebaris dengan lelaki yang pernah penjarakan suaminya," kata Rizal dalam satu kenyataan media.

Katanya, anak muda juga kecewa kerana pembangkang tidak mampu membela nasib golongan beliau walaupun sudah mentadbir Pulau Pinang dan Selangor.

Pada Himpunan “Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi”, hanya 4,000 hadir memberi sokongan dan kebanyakan mereka dikatakan tidak mewakili golongan muda.

Jumlah yang hadir itu jauh tersasar dari yang dimahukan pengajur, dan memberi petanda buruk kepada Pakatan Harapan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir.

Himpunan 14 Oktober itu juga dikatakan gagal menyaingi Himpunan Fastaqim 2.0 anjuran Pas yang diadakan hujung bulan lalu.