Skip to main content

Malaysia

Anak muda tidak boleh jadi alat mana-mana parti, kelompok - PM

Perdana Menteri berkata anak muda memainkan peranan sebagai pemimpin masa kini dan perlu berani bersuara, dan mengkritik secara berasaskan ilmu dan hujah. - Astro AWANI
Perdana Menteri berkata anak muda memainkan peranan sebagai pemimpin masa kini dan perlu berani bersuara, dan mengkritik secara berasaskan ilmu dan hujah. - Astro AWANI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan muda agar tidak menjadi alat mana-mana individu, parti atau kelompok sehingga hilang kebebasan berfikir.
  • Anwar menegaskan anak muda perlu berani bersuara, mengkritik secara berilmu, serta menolak ketaksuban kepada individu, parti atau kaum tertentu.
  • Beliau menyeru generasi muda menolak rasuah, menegakkan kebenaran dan keadilan, serta memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan supaya golongan muda tidak dijadikan sekadar alat kepada mana-mana individu, parti atau kelompok sehingga kehilangan kebebasan untuk berfikir, bersuara serta mengemukakan pandangan secara kritis.

Perdana Menteri berkata anak muda memainkan peranan sebagai pemimpin masa kini dan perlu berani bersuara, dan mengkritik secara berasaskan ilmu dan hujah.

“Saya tidak ada masalah kalau anak-anak boleh buat usul dan resolusi, berhujah. Kalau ada usul PMX (Perdana Menteri), patut buat begini, mengapa tidak cukup hari ini, saya tidak ada masalah.

“Kerana saya tidak fikir saya ini sebagai Perdana Menteri mempunyai pengetahuan yang semua yang sempurna dan boleh lakukan semua. Tidak, saya mahu mendengar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Belia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menambah anak muda juga tidak seharusnya taksub kepada mana-mana individu, parti atau kaum.

Sebaliknya, tegas Anwar golongan muda perlu menimba ilmu dan berpegang kepada kebenaran dan keadilan.

Dalam masa sama, beliau berkata golongan muda perlu diberi ruang untuk mengenali dan memahami pelbagai pemikiran serta tradisi ilmu.

Ia termasuk daripada dunia Islam, Timur dan Barat, tanpa menolak sesuatu pemikiran secara keseluruhan hanya kerana perbezaan latar belakang, ujar Anwar.

“Mesti taksub dengan ilmu, dengan kebenaran, dengan keadilan, dengan kemanusiaan,” jelasnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyeru golongan muda supaya berani menolak rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira kaum, agama atau kelompok, selaras dengan prinsip kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.

Sehubungan itu, beliau berharap generasi baharu mempunyai keberanian, disiplin dan idealisme untuk membawa perubahan serta menentukan hala tuju Malaysia pada masa depan.

Must Watch Video

Advertisement