Timbalan ketua pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz disaran untuk bertanding di kawasan parlimen Pagoh yang disandang Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pilihanraya umum (PRU) akan datang.

Cadangan itu dikemukakan perwakilan Kelantan Ahmad Marzuk Shaary ketika membahaskan ucapan dasar ketua pemuda PAS dalam Muktamar tahunan PAS ke-59 hari ini .

Jelas beliau pemuda harus berani menyahut cabaran bertanding di mana-mana kerusi walaupun tiada jaminan menang seperti di Kelantan.

Kata Marzuki, ia sekali gus meyakinkan pengundi tentang kesungguhan parti itu untuk menawan Putrajaya.

Tambah beliau, pertikaian mengenai calon bertanding dikawasan mana tidak perlu ditimbulkan sebaliknya perlu memfokuskan kepada menewaskan musuh.

"Dan inilah yang kita perlu halakan senjata kita kepada musuh kita Umno dan Barisan Nasional dan bukan kita menghalakan dan menjadi jaguh kepada sesama sendiri,” kata Marzuki lagi.

Anak kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat itu sebelum ini dikatakan akan bersedia bertanding pada PRU ke- 13 sekiranya parti menamakan beliau sebagai calon.

Antara kerusi yang dikaitkan ialah kerusi parlimen Kubang Kerian setelah penyandangnya yang juga naib presiden PAS, Salahuddin Ayub disahkan bertanding di Johor.

Sebelum ini, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan beliau sedia bertanding di kerusi parlimen Pekan jika diputuskan demikian oleh parti.