KUANTAN: Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Seri Permai, Taman Tas di sini, kesal dengan tindakan seorang individu meninggalkan seorang warga emas di premis berkenaan tanpa memaklumkan kepada mereka.

Pengurus rumah kebajikan terbabit, Mohamad Fauzi Ramli, 35, menyedari kehadiran lelaki berusia 72 tahun itu berada di hadapan pintu pagar premis terbabit, sebaik tiba di premis berkenaan.

Menurutnya, warga emas merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) itu memaklumkan dia dihantar oleh seseorang ke rumah kebajikan itu.

“Ketika lelaki ini dihantar ke sini, saya tak ada. Saya keluar ke kedai. Selepas balik, saya tengok pakcik ini ada di luar pintu rumah kebajikan.

“Kata lelaki ini, ada orang hantar dia dengan kereta ke sini dan terus berlalu pergi,” katanya pada Ahad.

Fauzi memberitahu tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku, dan individu terbabit sepatutnya berjumpa dengan pengurus rumah kebajikan untuk perbincangan.

"Kalau tidak boleh jaga, datang berbincang elok-elok, jangan tinggal seperti ini.

"Rasa terkilan itu ada sebab perbuatan individu itu saya sifatnya tidak bertanggungjawab dan tiada adab," luahnya yang perlu menjaga warga emas terbabit.

Menjawab mengenai asal usul, beliau berkata, warga emas itu memaklumkan tidak tahu tinggal di mana, namun berasal dari Pahang.

"Dia kata anak minta duduk di sini, sebab anaknya hendak ke kedai sekejap. Nanti (bila selesai urusan) dia datang ambil," katanya. - Sinar Harian