KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak yatim piatu hanya mampu memeluk batu nisan sambil memanggil-manggil adiknya di tanah perkuburan bagi melepaskan kerinduan terhadap tiga ahli keluarga yang terkorban termasuk ibu bapa dalam nahas jalan raya di Perak tiga tahun lalu.

Anak sulung itu, Muhammad Fariz Iskandar Mohamad Faiz, 6, yang cedera parah dalam kejadian tersebut kini pulih namun hanya mampu bergerak dengan cara mengesot dan perkembangannya menjadi perlahan termasuk bercakap.

Nenek kanak-kanak itu, Che Senah Che Awang, 65, berkata, mereka akan menziarahi kubur arwah anak lelakinya, Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhari, 28, bersama isteri, Nik Iedayu Nik Hassan, 27, dan anak bongsu mereka, Muhammad Faqih Irsyad, 16 bulan, setiap kali menyambut perayaan Aidilfitri.

“Muhammad Fariz Iskandar akan duduk dekat kubur sambil peluk dan usap batu nisan. Semasa kejadian, dia tidak tahu apa-apa kerana baru berusia tiga tahun tetapi mengenali uniform arwah bapanya dan menyuruh supaya baju itu digantung dengan baik.

“Saya sendiri masih lagi mengalirkan air mata jika terkenangkan tragedi itu. Saya akan ke kubur pada setiap Jumaat dan terbayang-bayang kalau tak ziarah kubur mereka,” katanya ketika ditemui semasa Program Prihatin Keluarga Angkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan di Kampung Jambu, di sini, pada Selasa.

Dalam kejadian tragis pada 13 Februari 2020 itu, tiga beranak terbabit dan kakak Nik Iedayu, Nik Ifeka, 28, maut di tempat kejadian selepas kereta jenis Proton Saga dinaiki bertembung dengan sebuah treler bahan binaan yang terbabas ke laluan bertentangan di KM37, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesyen, Sungai Siput, Perak.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, Muhammad Fariz Iskandar parah dan dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selama 28 hari.

Lebih menyayat hati, Nik Iedayu ketika itu mengandung dua minggu.

“Anak bongsu saya, Muhammad Fariz Izwan, 21, yang kini menjaga Muhammad Fariz Iskandar. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia dia tidak sambung belajar kerana perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada anak saudaranya itu.

“Dia juga yang menemani Muhammad Fariz Iskandar sepanjang berada di prasekolah kerana kanak-kanak itu perlu menggunakan kerusi roda dan dibantu untuk makan serta membuang air,” ujar Che Senah.

Menurutnya, Muhammad Fariz Iskandar kini mengikuti Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Tanjung Mas dan amat penyayang terhadap kanak-kanak yang lebih kecil.

Dalam pada itu, Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, arwah ibu bapa kanak-kanak itu ialah pencarum Perkeso dan melayakkan Muhammad Fariz Iskandar menerima Pencen Penakat.

“Muhammad Fariz Iskandar menerima Pencen Penakat arwah ibu RM532 dan RM445 bagi arwah bapa sehingga 21 tahun.

“Jika Muhammad Fariz Iskandar tidak mampu mengurus diri, Pencen Penakat akan diteruskan hingga ke akhir hayat kanak-kanak itu,” katanya. - Sinar Harian